Nasional

Kartel tipu bida: MyCC kenakan penalti terhadap tujuh perusahaan

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), sebuah agensi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), hari ini mengeluarkan Keputusan Dapatan Pelanggaran terhadap tujuh perusahaan yang didapati melanggar seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

Mereka terlibat dalam aktiviti kartel tipuan bida yang melibatkan empat (4) tender yang ditawarkan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan nilai keseluruhan sekitar RM20 juta pada tahun 2017 dan 2020.

Perusahaan-perusahaan yang terlibat adalah seperti berikut:

  1. Agenda Eksklusif Sdn Bhd (AESB) – Terlibat dalam semua 4 tender;
  2. Star Apex Enterprise (SAE) – Terlibat dalam semua 4 tender;

iii.       Nekad Waja Resources (NWR) – Terlibat dalam semua 4 tender;

  1. Spectron Sdn. Bhd. (SSB) – Terlibat dalam 2 daripada 4 tender;
  2. Teknokrat Makmur Enterprise (TME) – Terlibat dalam 1 daripada 4 tender;
  3. Prospectrum Sdn. Bhd. (PSB) – Terlibat dalam 1 daripada 4 tender; dan

vii.      NK Panorama Enterprise (NKPE) – Terlibat dalam 1 daripada 4 tender.

Kronologi penyiasatan, representasi dan keputusan

MyCC telah memulakan penyiasatan rasmi berikutan aduan mengenai dakwaan kartel tipuan bida di dalam 2 tender.

Sepanjang tempoh penyiasatan, agensi ini telah melaksanakan serbuan, mengambil kenyataan, meminta  maklumat dan menganalisis bukti yang berkaitan.

Pada 19 Disember 2023, MyCC telah mengeluarkan Keputusan Cadangan kepada 7 perusahaan yang terlibat dan seterusnya MyCC telah menerima representasi daripada perusahaan-perusahaan tersebut.

Selepas menilai dengan teliti semua representasi yang dikemukakan, MyCC telah mengeluarkan keputusan dapatan pelanggaran terhadap kesemua 7 perusahaan pada 30 Ogos 2024 dan ianya telah diserahkan kepada perusahaan-perusahaan yang terlibat pada hari ini.

Perlakuan kartel oleh perusahaan terlibat

Dalam penyiasatannya, MyCC telah mengenal pasti kewujudan 2 kumpulan kartel. Kumpulan kartel pertama terdiri daripada AESB, SAE, NWR, TME, dan SSB.

Sementara itu, kumpulan kartel kedua pula membabitkan NKPE dan PSB, dan kedua-dua perusahaan ini terlibat di dalam 1 daripada 4 tender yang disiasat.

Modus operandi kumpulan kartel pertama ini menunjukkan AESB memainkan peranan utama dalam keempat-empat tender yang disiasat.

AESB menetapkan harga asas dan perusahaan-perusahaan lain seperti SAE dan NWR mengemukakan harga yang lebih tinggi daripada harga asas tersebut dalam kesemua tender tersebut.

Bagi perusahaan SSB yang terlibat di dalam 2 daripada 4 tender juga telah menggunakan harga asas yang ditetapkan oleh AESB.

Manakala TME yang juga terlibat dalam 1 daripada 4 tender turut menggunakan teknik yang sama di dalam penyerahan tendernya. MyCC juga mendapati, sebaik sahaja SSB berjaya memenangi salah satu tender, tender tersebut terus disubkontrakkan kepada AESB dengan balasan 5 peratus daripada nilai tender tersebut.

Kebanyakan bukti yang diperolehi termasuklah dokumen tender berkaitan kumpulan kartel pertama telah ditemui di premis AESB di Manjung, Perak. Bagi kumpulan kartel kedua pula, MyCC berjaya merampas bukti dokumentari di premis PSB yang juga terletak di bandar yang sama.

Jumlah keseluruhan penalti dan denda yang dikenakan ke atas kartel ini ialah RM446,092.95.

“Kartel tipuan bida telah sekian lama menggugat ketelusan dan integriti perolehan awam negara, mengakibatkan kerugian besar kepada sumber awam yang sepatutnya dimanfaatkan untuk negara dan rakyat.

“MyCC tetap teguh dalam usaha membanteras amalan tidak beretika ini, sejajar dengan komitmen kerajaan Malaysia untuk membasmi kartel tipuan bida. Bagi melindungi kepentingan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, MyCC kini sedang menyiasat 13 kartel tipuan bida yang melibatkan 561 syarikat dalam tender bernilai RM2.37 bilion serta menilai aduan berkaitan 463 syarikat dalam tender bernilai RM9.27 bilion,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail.

“Perlu saya tegaskan bahawa penyiasatan ini tertumpu kepada perusahaan-perusahaan yang terlibat dalam pelanggaran tersebut, bukannya terhadap Kementerian Pertahanan (MINDEF). MINDEF adalah mangsa manipulasi kartel-kartel ini.

“Kami menghargai kerjasama MINDEF dalam penyiasatan serta berdiri teguh bersama kami menentang aktiviti kartel yang tidak bertanggungjawab ini kerana kartel adalah kejahatan tertinggi di dalam undang-undang persaingan.

“Kami menyeru agar agensi-agensi lain mencontohi tindakan MINDEF dan bekerjasama dengan MyCC dalam usaha melindungi ketelusan perolehan awam.

“Jika terdapat kementerian atau agensi yang mengesyaki berlakunya amalan tipuan bida dalam proses tender mereka, kami mengesyorkan agar segera menghubungi MyCC untuk membuat aduan,” ujarnya lagi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button