Nasional

Adly Zahari santuni veteran ATM yang uzur

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memanifestasikan Program Peduli Veteran Madani (PVM) sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan Veteran ATM kawasan Mersing, hari ini.

Program ini dilaksanakan dari 4 hingga 6 September 2024 untuk menyantuni Veteran ATM yang telah
banyak menaburkan jasa dan bakti sepanjang perkhidmatan mereka kepada pertahanan Negara.

Sepanjang program, Timbalan Menteri Pertahanan telah menyantuni 12 orang veteran ATM yang sedang uzur dan sakit kronik.

Daripada jumlah tersebut, dua orang veteran adalah dari kategori veteran usahawan di mana masing-masing mengusahakan perniagaan kedai makan dan memproses ayam segar.

Selain bertanya khabar, Adly turut berbesar hati menyerahkan sumbangan berupa barang keperluan seperti makanan, susu kesihatan, lampin pakai buang kepada setiap veteran yang diziarahi.

Selain itu, sebanyak 300 Bakul Rahmah telah diagihkan kepada persatuan-persatuan veteran setempat untuk diberikan kepada veteran asnaf.

Mendokong Teras ke-6 Dasar Madani iaitu ’Ihsan’, Kerajaan komited meningkatkan peruntukan JHEV ATM dari RM118 juta kepada RM244 juta pada tahun 2024.

Peningkatan  yang begitu ketara ini mampu memberi manfaat yang lebih luas kepada Veteran ATM. Pada
tahun ini, kerajaan juga telah meningkatkan peruntukan Bayaran Sara Hidup sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada RM54 juta kepada RM174 Juta.

Sehingga 30 Jun 2024, seramai 29,331 veteran ATM telah menerima faedah ini melibatkan perbelanjaan hampir
RM56 juta.

Walau bagaimanapun, peruntukan ini hanya kepada pesara tentera yang berdaftar dengan JHEV sahaja. Sehingga kini, statistik keahlian mencatatkan seramai 503 orang veteran ATM menetap di sekitar Daerah Mersing dan 166 daripadanya adalah veteran tidak berpencen.

Justeru, adalah disarankan kepada semua veteran ATM berdaftar mengemaskini maklumat peribadi dengan JHEV ATM serta persatuan-persatuan di lokaliti masing-masing bagi memastikan semua Skim Bantuan yang disediakan oleh JHEV ATM seperti Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi, Bantuan Peralatan Pesakit dan Bantuan Bencana Alam dapat disalurkan kepada veteran ATM yang berkelayakan secara teratur dan efektif.

Inisiatif PVM bertindak sebagai medan untuk interaksi secara dua hala antara Kementerian Pertahanan dan Veteran ATM dalam usaha membantu kelestarian kehidupan mereka.

Program PVM ini melibatkan lima 5 fokus utama iaitu kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan, dan pemerkasaan ekonomi veteran ATM.

Secara tidak langsung PVM akan dapat mengurangkan jurang kemiskinan dalam kalangan masyarakat melalui program  berfokus sejurus memperkasakan sosioekonomi Negara.

Kementerian Pertahanan beriltizam untuk terus komited dalam mempertingkatkan lagi PVM menerusi kerjasama dengan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta agensi-agensi yang berkaitan melalui siri lawatan kebajikan yang akan datang agar tiada Veteran ATM yang terpinggir daripada menerima segala manfaat yang disediakan.

Program PVM Mersing pada kali ini turut diiringi Pegawai Staf 1 Sekretariat JHEV; Leftenan Kolonel Nor Azimi bin Idris, Pengarah JHEV Cawangan Negeri Johor; Mejar Johadi bin Jemaat, serta wakil persatuan-persatuan veteran ATM Daerah Mersing.  – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button