Politik

Tak sempat nak umum laksana janji manifesto PTPTN

Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mendedahkan Kerajaan Pakatan Harapan hampir menunaikan janji dalam Manifesto Pilihan Raya Umum untuk membenarkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),  membayar balik pinjaman hanya selepas gaji bulanan melebihi RM4,000.

Setiausaha DAP itu berkata, Kerajaan Pakatan Harapan telahpun bersetuju untuk melaksanakan manifesto tersebut.

Menurutnya, formula daripada PTPTN dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan itu memerlukan kerajaan menanggung pinjaman tambahan di atas pinjaman sedia ada yang ditanggung oleh kerajaan untuk membiayai pinjaman PTPTN.

Kata Guan Eng, manifesto berkenaan gagal dilaksanakan apabila kerajaan PH tumbang sebelum pergumuman rasmi dibuat.

“Saya berharap, janji untuk membenarkan peminjam PTPTN membayar balik pinjaman hanya selepas mereka mendapat gaji lebih dari RM4,000 sebulan tetap akan ditunaikan, meskipun kerajaan perlu menanggung pinjaman tambahan,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 10 November 2018 Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan, memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak dapat menunaikan janji berkaitan penangguhan bayaran balik pinjaman bagi peminjam bergaji bawah RM4,000 seperti yang diumumkan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Wan Saiful yang juga penulis Buku Harapan, berkata agensi itu sudah cuba mencari mekanisme terbaik untuk merealisasikan manifesto PH sebelum ini, namun gagal.

“Saya antara yang terbabit menulis janji Manifesto PH. Saya yang bertanggungjawab dalam hal ini, termasuk janji menangguhkan pembayaran semula oleh peminjam yang berpendapatan bulanan di bawah RM4,000.

“Saya mohon maaf kepada rakyat. Ketika itu (merangka manifesto), saya tidak tahu hutang negara dan PTPTN sangat besar.

“Hutang PTPTN (ketika itu) hampir RM40 bilion, dan jika janji ini diteruskan, hutang PTPTN akan menjadi bebanan besar kepada negara,” katanya ketika itu.-SM

 

 

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button