Ekonomi

Wujudkan dana mudah cara bantu usahawan bina stesen caj EV

Kerajaan diminta mewujudkan dana mudah cara atau dana mezzanine bagi menggalakkan pembinaan stesen pengecaj kenderaan elektrik (EV) jika mahu mencapai sasaran 10,000 stesen menjelang tahun 2025.

Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., iaitu syarikat penyedia penyelesaian tenaga boleh baharu, Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, langkah itu penting jika mahu melibatkan lebih banyak penyertaan terutama bumiputera dalam menyediakan infrastruktur kenderaan EV  kerana kosnya tinggi.

Katanya, pada masa ini dengan jumlah bilangan EV di Malaysia yang kecil, pelabur-pelabur keberatan untuk melabur dalam penyediaan infrastruktur ini kerana tidak cukup kenderaan untuk capai pulangan pelaburan mereka.

Bagi pihak pengguna pula katanya, mereka keberatan untuk menukar daripada kenderaan konvensional kepada EV disebabkan infrastruktur yang menyokong kenderaan itu tidak mencukupi.

“Setakat ini di negara kita baru ada 700 lebih stesen pengecaj. Jadi, pengguna keberatan untuk beli kenderaan EV kerana infrastruktur tidak cukup.

“Pelabur-pelabur pula enggan melabur dalam penyediaan stesen pengecaj ini kerana jumlah kenderaan EV di negara kita masih rendah untuk capai pulangan pelaburan dalam tempoh lima tahun.

“Disebabkan isu seperti ini maka sasaran kerajaan untuk siapkan 10,000 stesen caj EV menjelang tahun depan sukar untuk dicapai,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu katanya, tidak ada usahawan bumiputera yang terlibat sebagai penyedia stesen pengecaj EV kerana mereka tidak mampu untuk melabur disebabkan kos pelaburan yang tinggi dan tempoh pulangan yang tidak pasti.

Katanya, ini ditambah pula dengan pihak bank enggan memberi pinjaman kerana tempoh masa pulangan balik modal pelaburan yang tidak dapat dipastikan. 

“Itu belum ambil kira pelbagai masalah birokrasi kerana terpaksa mendapat kelulusan pelbagai jabatan dan kementerian untuk kelulusan statutory.

“Ini akan melambatkan proses pemasangan stesen pengecaj EV yang bermakna akan makan modal.

“Sebab itu saya cadangkan upaya kerajaan menyediakan dana mezanine bagi membantu usahawan bumiputera berkecimpung dalam industri stesen pengecaj EV sehingga bilangan infrastruktur ini matang dan mampu berdiri sendiri,” katanya.

Menurut Guntor, dari segi kaedah pembayaran caj EV sudah ada penyelesaian melalui pelancaran Juice Up oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Kalau dulu untuk bayar caj EV ini terpaksa muat turun banyak aplikasi di telefon sebab masing-masing pengendali dengan kaedah pembayaran sendiri.

“Dengan Juice Up pengguna hanya perlukan satu aplikasi sahaja untuk bayar caj EV mereka di mana-mana stesen pengecaj, pengguna tidak perlu lagi muat turun bermacam-macam aplikasi pembayaran,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button