Nasional

PAC kesan HRD Corp guna RM3.77 bilion untuk pelaburan risiko tinggi

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan  Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) dikesan melabur RM3.77 bilion dalam pelbagai aktiviti yang dianggap berisiko tinggi.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata PAC juga mendapati wujud tatakelola yang lemah serta kaedah pembelian harta yang mencurigakan dalam organisasi tersebut.
“PAC mendapati HRD Corp yang bukan sebuah institusi pelaburan telah melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan dengan menggunakan wang levi seperti ‘put and call option’.
“Pelaburan ini adalah berisiko tinggi dan boleh mendedahkan HRD Corp kepada kerugian besar,” katanya pada sidang media laporan PAC di Parlimen.
Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menjelaskan, dapatan itu diperoleh menerusi slaid pembentangan HRD Corp bertarikh 12 Mac 2024 seperti dinyatakan dalam laporan PAC berhubung Pengurusan Dana Latihan Dan Keberkesanan HRD Corp di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
Katanya, melalui prosiding yang mereka jalankan, jawatankuasa itu mendapati kutipan levi dicatatkan HRD Corp meningkat begitu ketara iaitu RM2.134 bilion pada 2023 berbanding RM475 juta pada 2020.
Katanya, peningkatan itu didorong peluasan Akta Pembangunan Sumber Manusia 2001 (Akta PSMB 2001) di mana pengenaan levi diwajibkan kepada semua sektor industri.
Laporan PAC turut mendedahkan, panel pelaburan HRD Corp gagal melaporkan aktiviti pelaburan yang sepatutnya kepada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) atas justifikasi bahawa pengerusi panel pelaburan adalah pengerusi ALP.
Susulan daripada itu, ALP tidak berupaya memantau aktiviti pelaburan HRD Corp secara menyeluruh dan ini menjejaskan peranannya sebagai entiti yang bertanggungjawab terhadap hala tuju HRD Corp,.
Selain itu, PAC berkata, berlaku pelanggaran Akta PSMB 2001, berikutan, tiada wakil Bank Negara Malaysia (BNM) dilantik sebagai seorang daripada ahli panel pelaburan sejak 2017. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button