Nasional

Belum ada kertas dasar penyasaran subsidi RON95

Perdana Menteri hari ini mengulangi bahawa kerajaan masih belum memuktamadkan keputusan mengenai pelaksanaan subsidi petrol RON95 yang disasarkan, kerana belaum ada kertas dasar disediakan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun kajian telah dijalankan, kerajaan lebih suka menilai hasil daripada merasionalisasikan subsidi untuk elektrik, ayam dan diesel sepanjang tahun lalu.

“Mari kita lihat kesan dan ukur reaksi orang ramai. Selepas itu, kami akan bersedia untuk membincangkan apa yang perlu dilakukan,” katanya di Dewan Rakyat semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan subsidi bersasar untuk petrol RON95.

Walaupun tidak menolak kemungkinan merasionalkan subsidi sedemikian pada masa depan, Anwar berkata, kerajaan akan sentiasa berhati-hati dalam pelaksanaan.

“Rasionalisasi subsidi sukar dilaksanakan. Kalau tanya saya, (penanggalan subsidi) RON95 sepatutnya sudah lama dilaksanakan, tetapi ia bukan mudah,” katanya.

“Masalahnya ialah 3.8 juta warga asing menggunakan bahan api ini, malah orang kaya yang memandu Rolls Royce menggunakan bahan api bersubsidi. Bagaimana kita hendak menyelesaikan perkara ini?”

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sebelum ini membayangkan bahawa keputusan untuk menghapuskan subsidi menyeluruh untuk petrol RON95 akan datang sebagai pengumuman “mengejutkan”, sama seperti penarikan subsidi diesel yang tidak dijangka pada 10 Jun.

Bagaimanapun, ini ditolak oleh Anwar yang berkata Putrajaya masih belum membuat keputusan.

RON95 kini dijual pada harga subsidi RM2.05 seliter. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button