NasionalSukan

Sultan Selangor murka dengan MFL, FAM

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahir rasa kecewa baginda terhadap Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengenakan tindakan ke atas  Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Malah baginda menyifatkan kedua-dua badan bola sepak itu sebagai tiada ihsan, tidak berperkemanusiaan serta mempamerkan kezaliman terhadap apa yang berlaku terhadap pemain Selangor dan kebangsaan, Faisal Halim.

Baginda bertitah telah memberi  perkenan kepada pihak Selangor FC untuk menghantar permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih kerana para pemain Selangor FC yang masih dalam keadaan trauma dan ketakutan.

“Bagaimanapun, pihak MFL telah menolak permohonan penangguhan tersebut dan memberi kemenangan 3-0 serta kejuaraan Piala Sumbangsih kepada pihak lawan.

“Beta berpandangan hukuman yang dijatuhkan iaitu denda RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah diberikan kepada pasukan lawan,” titah baginda, hari ini.

Selangor FC berdepan beberapa hukuman daripada MFL susulan tindakan menarik diri daripada aksi Piala Sumbangsih yang sepatutnya berlangsung 10 Mei lalu di Stadium Sultan Ibrahim.

Antara denda yang dikenakan badan pengelola liga itu ialah  Selangor diminta membayar denda sebanyak RM100,000 dan duit berkenaan akan disalurkan kepada badan kebajikan.

Selain itu, kelab berkenaan juga perlu membayar pampasan ganti rugi kepada MFL dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terpaksa ditanggung oleh kedua-dua pihak tersebut.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa murka terhadap MFL serta FAM khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

“Beta terkejut dan kecewa kerana Hamidin langsung tidak serius bersuara pada hal beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta menerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) daripada Beta.

“Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini yang Beta anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah,  baginda sudah terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak tahun 1968 semasa zaman FAS diterajui oleh Datuk Seri Harun Idris sehingga bersara pada tahun 1990, dan dalam tempoh itu belum pernah baginda saksikan keadaan seperti sekarang.

“Sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat, kini telah dicemari dengan keganasan.

“Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain.

“Beta juga amat pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini.

“Harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan halatuju pasukan Selangor FC.

“Beta kini hanya berperanan sebagai Penaung di dalam FAS. Namun, jika Beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, Beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu,” titah baginda.

“Tindakan-tindakan melampau MFL ini langsung tidak melambangkan semangat ini dan hanya akan merosakkan imej industri bola sepak tempatan serta sokongan orang ramai terhadap sukan yang kita cintai ini.

“Beta ingatkan kepada MFL, buatlah keputusan dengan berhati-hati,” tegas baginda. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button