D’Saji promosi Kurma Daging Perlis di Mekah
KURMA Daging yang disajikan di Restoran Malaysia Felda D’Saji yang beroperasi di Menara Safwa, Mekah, Arab Saudi sepanjang musim haji pada tahun ini adalah merupakan resepi istimewa berupa ‘Kurma Daging Perlis’.
Menurut Pengurus Kanan restoran tersebut, Muhamad Hafiz Abdul Malek, restoran ini mendapat sambutan baik yang dikunjungi jemaah haji dan umrah dari pelbagai negara, yang ingin merasa masakan Malaysia dan ini adalah peluang yang amat baik bagi mempromosikan masakan negeri Perlis iaitu Kurma Daging Perlis.
Promosi khas ini dilaksanakan bersempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 dengan kerjasama pihak Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan MKM Ticketing Travel & Tours Sdn. Bhd.
“Pihak kami amat berbesar hati dapat turut sama bagi membantu memperkenalkan menu ini yang akan menjadi salah satu menu restoran kami dari semasa ke semasa selepas ini, agar para pengunjung dapat mengetahui tentang negeri Perlis yang mempunyai menu unik seperti Kurma Daging ini”, kata Hafiz.
Hafiz turut sama mengiringi
Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan melancarkan promosi tersebut sebelum Baginda berangkat meninggalkan kota Mekah baru-baru ini.
Demikian kenyataan menurut siaran media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
Majlis tersebut diadakan secara ringkas di hadapan restoran berkenaan memandangkan kesesakan kawasan tersebut yang sentiasa sibuk dikunjungi pengunjung serta jemaah haji dan umrah.
Turut berangkat sama adalah anakanda bongsu Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Turut menyambut keberangkatan Tuanku Pemangku Raja Perlis adalah Ketua Chef, Mohd Safwan Mat Hussein yang merupakan rakyat Malaysia yang berkhidmat di restoran tersebut.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda-anakanda Baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail serta Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail baru sahaja selamat menunaikan fardhu Haji di Tanah Suci Mekah baru-baru ini.
Dalam pada itu, Tuanku Pemangku Raja berkongsi info bahawa Baginda dipersembah maklumkan oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi iaitu Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah bahawa Arab Saudi terus kekal sebagai penyumbang terbesar ketibaan pelancong di Malaysia daripada negara-negara Asia Barat. Seramai 51,375 pelancong daripada Arab Saudi telah melawat Malaysia tahun 2023, berbanding 35,980 pelawat pada tahun 2022. Kuala Lumpur, Langkawi, Pulau Pinang dan Melaka merupakan antara tumpuan kepada pelawat-pelawat ini. Baginda menyarankan agar pemain industri pelancongan di Perlis untuk mencari jalan untuk menawarkan kepada para pengunjung yang bertandang ke Langkawi dan Pulau Pinang untuk datang ke Perlis.