Nasional

Pemangku Raja Perlis zahir ucapan takziah kepada mangsa ribut di Perlis

MEKAH – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan takziah kepada 107 mangsa dan keluarga bencana ribut di Negeri Perlis yang berlaku pada 21 dan 23 Jun baru-baru ini.

Baginda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sentiasa mendoakan agar ujian ini berjaya dihadapi dengan baik dan terhindar dari musibah besar yang memudaratkan.

Pada masa ini, Baginda masih berada di Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah Haji.

Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas Baginda berkenan berangkat melawat ke Muzium Antarabangsa Sirah Nabawiyyah di Mekah baru-baru ini.

Baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis,Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda-anakanda iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail serta Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Keberangkatan Baginda disambut Pegawai Muzium Antarabangsa Sirah Nabawiyyah, Mekah berkenaan, Ahmad Al-Qurasyi.

Tuanku Pemangku Raja tertarik dengan persembahan dan tata letak Muzium berkenaan dari sudut pengisian dan seni binanya yang berupaya membawa para pengunjungnya untuk menghayati sejarah dan pengorbanan Rasulullah dan para sahabatnya.

Selain mementingkan aspek pengisiannya, Muzium berkenaan turut mempunyai elemen futuristik dengan dilengkapi kecerdasan buatan (AI), replika tiga dimensi (3D), sistem cerdas beraneka bahasa, layar tampilan interaktif, layar Bioskop dan hologram serta sistem audio moden.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi yang terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis (JKM) dan pihak Jawatankuasa Kariah Masjid di bawah MAIPs dalam mengenalpasti mangsa yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Dalam masa sama, Mohd Nazim mengucapkan terima kasih kepada seluruh Amil Zakat Negeri Perlis, pihak Jawatankuasa Kariah Masjid Negeri Perlis, NGO-NGO dan orang perseorangan yang proaktif menyalurkan maklumat mangsa kepada pihak MAIPs dan pelbagai agensi lain yang terlibat dengan pantas serta tempat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button