Minggu Perpaduan peringkat Perlis pada 30 Jun
Kementerian Perpaduan Negara bersama Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Negeri Perlis akan menganjurkan Majlis Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Perlis Tahun 2024 di Laman Putra Brasmana, Kuala Perlis pada 30 Jun 2024 yang akan datang nanti.
Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dijadualkan berangkat bagi menyempurnakan majlis perasmian tersebut yang turut dianjurkan bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-81 Tuanku Raja Perlis pada tahun ini.
Majlis ini turut dijalankan dengan kerjasama Kerajaan Negeri bersama jabatan-jabatan, agensi-agensi negeri dan Persekutuan serta Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).
Pelbagai aktiviti akan dijalankan yang berteraskan agenda perpaduan dalam memastikan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat di Perlis sempena sambutan minggu perpaduan ini.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Batu Dua Lama, Jalan Kaki Bukit dekat Kangar baru-baru ini.
Baginda yang juga merupakan Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan untuk menyampaikan sumbangan MAIPs kepada Mariah Hassan, 71 tahun dari Kampung Petai, Tengku Delisah Ku Lah, 71 tahun dari Kampung Behor Inai dan Rasamee Latifah Abdullah, 59 tahun dari Kg Batu Dua.
Para asnaf yang terpilih pada kali ini menerima bantuan kewangan secara tunai, RM700, Kits MAIPs Peduli dan juga beras Fidyah.
Kayuhan amal yang bertujuan untuk menyantuni dan menyalurkan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik di negeri ini.