Wakil rakyat Bersatu tidak patuh arahan lucut keahlian
MANA-MANA wakil rakyat Bersatu yang tidak patuh atau melawan arahan yang dikeluarkan oleh parti bakal terlucut keahlian mereka serta merta.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, ia selari dengan Perkara 10.4 Perlembagaan Bersatu yang dipinda baru-baru ini.
“Mengikut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu, ketidakpatuhan wakil rakyat Bersatu terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi adalah disifatkan terhenti keahliannya dari parti secara serta-merta,” katanya dalam kenyataan.
Dengan itu juga secara automatik ahli parlimen Bersatu yang gagal mematuhi perkara tersebut akan dianggap lompat parti mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan kerusi mereka akan dikosongkan.
Muhyiddin membuat kenyataabn itu sehari selepas tarikh akhir yang ditetapkan untuk semua wakil rakyat Bersatu mengembalikan surat Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi yang sudah ditandatangani sebagai ikrar taat setia mereka.
“Seramai 25 Ahli Parlimen dan 58 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) telah menandatangani surat berkenaan dan menghantarnya kembali kepada Setiausaha Agung Bersatu dalam tempoh 14 hari.
“Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi ini dibuat selaras dengan pindaan Perlembagaan Bersatu yang telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini serta menepati kehendak Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan mengenai antilompat parti,” katanya.
Semalam, satu jawatankuasa khas telah dibentuk untuk menyemak respons yang diterima, termasuk daripada tujuh ahli parlimen Bersatu yang memberikan sokongan mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Enam Ahli Parlimen Bersatu yang berikrar menyokong Anwar ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).
Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari turut mengumumkan sokongannya kepada perdana menteri. – SM