Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke China yang bermula pada 22 Mei lalu hingga 1 Jun ini, memberi impak positif kepada landskap bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.
Memetik BERNAMA, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Mohammad Rizan Hassan, berkata ini terbukti kerana Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET) cukup komited melaksanakan penghantaran bakat TVET tempatan ke China menerusi Malaysia-China Institute (MCI) yang diumumkannya tahun lalu.
“Untuk rekod, sehingga bulan ini 850 orang telah menjalani latihan di beberapa Institusi TVET China dalam bidang seperti Teknologi Keretapi, Robotik, Kecerdasan Buatan (AI), Internet Benda (IOT), Kenderaan Elektrik (EV), Multimedia Animasi, E-Commerce dan banyak lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia dan China melihat kemajuan ketara dalam pelbagai sektor, termasuk pertukaran ekonomi, teknologi dan budaya, bagaimanapun masih ada potensi kerjasama yang belum diterokai sepenuhnya dalam bidang TVET seperti menggalakkan kerjasama menangani permintaan yang semakin meningkat untuk pekerja mahir dalam industri utama seperti pembuatan, kejuruteraan dan teknologi