MANCHESTER City mencipta sejarah tersendiri dalam Liga Perdana Inggeris apabila menjadi pasukan pertama muncul juara untuk kali keempat berturut-turut.
Kemenangan 3-1 ke atas West Ham memastikan mereka muncul juara dengan kelebihan dua mata mengatasi Arsenal biarpun The Gunners menang 2-1 ke atas Everton.
Pada masa sama Phil Foden bukan sahaja membantu City mengekalkan kejuaraan, tetapi menamatkan kempen cemerlangnya dengan dua gol hebat apabila ia paling penting, merembat masuk dari jarak jauh pada minit kedua kemudian menambah lagi 16 minit kemudian.
Gol Mohammed Kudus memberi Arsenal sedikit harapan dalam perlumbaan kejuaraan apabila dia merapatkan jurang dengan sepakan overhead yang luar biasa, tetapi Rodri memulihkan kusyen dua gol sang juara selepas 59 minit.
Pep Guardiola boleh berehat dari situ dan City menamatkan saingan dua mata di hadapan ketika Arsenal bangkit untuk menewaskan Everton 2-1.
West Ham pula sudah pun dijamin untuk menduduki tempat kesembilan dan menamatkan kempen terakhir mereka di bawah kendalian David Moyes dengan 52 mata, lapan di belakang Manchester United di tangga kelapan.