Nasional

SPAN komited laksana amalan terbaik dalam kalangan industri perkhidmatan air

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menganjurkan satu sesi taklimat dan perkongsian amalan terbaik bersama Anggota Suruhanjaya serta pemegang lesen dan agensi perakuan pada 13 Mei 2024 di ibu pejabat SPAN yang dihadiri oleh Pengerusi SPAN, Anggota Suruhanjaya, Ketua-ketua Integriti dan wakil pengurusan Pemegang Lesen dan Agensi Perakuan.

Taklimat ini adalah bagi membincangkan arah tuju industri susulan pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024–2029 (NACS) yang baru sahaja dilancarkan bagi menggantikan Pelan Antirasuah Nasional 2019–2023 (NACP).

Selain daripada taklimat oleh Bahagian Integriti dan Pengurusan Risiko SPAN, perkongsian amalan terbaik turut disampaikan oleh dua ketua integriti masing-masing daripada Indah Water Konsortium Sdn Bhd dan Pengurusan Aset Air Berhad. Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif, The Centre To Combat Corruption and Cronyism (C4) turut memberikan perkongsian berhubung isu konflik kepentingan.

SPAN sebagai sebuah badan kawal selia mendapati terdapat keperluan untuk mengkaji semula inisiatif-inisiatif sedia ada melalui pelaksanaan Rangka Kerja Integriti dan Anti-Rasuah Bagi Pemegang Lesen & Agensi Perakuan Industri Perkhidmatan Air dalam memerangi rasuah.

Dengan penumpuan masa kini terhadap memperkasa aspek Environment, Social and Governance (ESG), maka, semua pihak sewajarnya menilai dan memberi lebih perhatian khususnya terhadap amalan serta pelaksanaan berkaitan dengan elemen tatakelola (governance).

SPAN amat komited dalam merealisasikan pemerkasaan aspek integriti dalam industri perkhidmatan air melalui kerjasama erat bersama para pemegang lesen. Taklimat Rangka Kerja serta perkongsian amalan terbaik yang diadakan diyakini akan dapat membantu pemegang lesen untuk memantapkan lagi usaha dan inisiatif sedia ada ke arah pemantapan agenda integriti di organisasi masing-masing daripada sebarang potensi ketirisan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button