Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini adalah bahan kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).
Memetik BERNAMA, Beliau berkata sebaliknya perkara itu sudah lama diteliti oleh Kerajaan Perpaduan dan ia dirancang untuk diumumkan pada 1 Mei lepas sempena sambutan Hari Pekerja 2024.
“Jika dilihat pada garis masa pengumuman itu dibuat, ia akan menjawab sendiri persoalan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Aidilfitri di Maktab Polis Diraja Malaysia di Kuala Kubu Baharu hari ini.
Saifuddin Nasution berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal baru-baru ini bahawa pengumuman itu tidak memberi kesan kepada sokongan pengundi pada PRK berkenaan.
Pada Rabu lepas, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini yang melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.