Bestinet perkenal tekonologi keselamatan FWCMS elak eksploitasi pekerja asing
KUALA LUMPUR 24 April –
Bestinet Sdn. Bhd. (“Bestinet”), sebuah syarikat teknologi maklumat Malaysia yang diiktiraf antarabangsa dalam melaksanakan penyelesaian teknologi rentas sempadan yang komprehensif percaya bahawa situasi sedemikian boleh dielakkan dengan usaha yang sewajarnya.
Sistem FWCMS ialah platform digital sepenuhnya, canggih dan diiktiraf oleh UN World Summit Award (WSA) bagi pengurusan pekerja asing secara holistik.
Sistem ini dibangunkan dan telah dilaksanakan untuk mengatasi eksploitasi ke atas pekerja asing secara berkesan melalui beberapa strategi utama, termasuk, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dengan pendigitalan semua langkah dan prosedur, memastikan setiap fasa proses pengambilan pekerja asing dapat dipantau dan dikesan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bestinet, Ismail Mohd Noor berkata, beliau bimbang terhadap eksploitasi yang dihadapi oleh pekerja asing di Malaysia.
Beliau berkata, baru-baru ini, pakar yang dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah melahirkan kebimbangan serius berhubung eksploitasi dan keadaan melarat pekerja asing Bangladesh di Malaysia.
“Syarikat kami telah melaksanakan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), dan adalah amat merisaukan untuk menyaksikan penderitaan yang perlu dihadapi oleh pekerja-pekerja asing yang telah tiba di Malaysia ini,” katanya di sini hari ini.
Beliau mengakui terdapat penipuan dalam proses pengambilan pekerja asing di Negara Sumber yang sering mengakibatkan pekerja asing terbiar tanpa pekerjaan atau tempat berteduh sebaik tiba di negara ini.
“Misi kami apabila melaksanakan sistem ini, antaranya adalah menjadi kewajipan kita untuk sama-sama menjaga kebajikan dan hak asasi pekerja asing; ia melangkaui transaksi semata-mata,” tambah Ismail.
FWCMS merangkumi beberapa ciri penting yang bertujuan untuk menyelaraskan pengambilan dan pengurusan pekerja asing secara digital.
Sistem ini memastikan majikan memohon dan mendapatkan kelulusan Kerajaan untuk permohonan kuota secara dalam talian, menjadikan proses lebih efisien, tepat dan lebih telus. Selain itu, ia memastikan kontrak pekerjaan antara pekerja dan majikan dikeluarkan, difahami, ditandatangani dan disimpan dengan selamat semuanya secara digital.
FWCMS juga menyediakan fungsi berkesan untuk pengesahan oleh pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk kedutaan dari negara asal pekerja asing dan agensi kerajaan Malaysia.
Kebolehcapaian ini membantu dalam mengekalkan pematuhan peraturan. Ismail menekankan kepentingan ketelusan dalam proses pengambilan pekerja asing.
“Dengan segala-galanya yang didokumenkan secara digital dan boleh diakses, kita dapat melindungi pekerja asing dengan lebih baik daripada tawaran kerja palsu dan situasi eksploitatif lain,” katanya.
Selain itu, FWCMS dilaksanakan selaras dengan peraturan Kerajaan dan standard antarabangsa, menjamin bahawa semua amalan pengambilan pekerja asing memenuhi piawaian undang-undang dan etika.
Sistem ini juga menyediakan saluran yang selamat untuk semua pekerja melaporkan sebarang kejadian penganiayaan atau penderaan, sekali gus melindungi keselamatan mereka sambil memudahkan akses kepada sokongan yang diperlukan.
Tambahan lagi, modul penting seperti eWages dapat memantau pembayaran gaji secara automatik bagi memastikan pekerja menerima gaji yang sepatutnya dan menyediakan mekanisme untuk memaklumkan pihak berkuasa tentang percanggahan atau kegagalan pembayaran gaji oleh majikan.
“FWCMS bukan sahaja memperkemas semua prosedur pengambilan pekerja asing tetapi ia juga mempunyai ciri tambahan untuk menjaga kesejahteraan dan keselamatan pekerja, seperti keupayaan untuk melaporkan isu buruh dan memastikan mereka menerima gaji mereka dengan sepatutnya dan tepat pada masanya,” tambah Ismail.
Beliau menekankan kepentingan penambahbaikan berterusan dan menjadi tanggungjawab bersama semua pihak berkepentingan. “Tiada satu sistem atau penyelesaian boleh menyelesaikan semua cabaran yang berkaitan dengan pekerja asing di Malaysia.
Ia memerlukan dialog berterusan, penyesuaian dan kerjasama antara negara, perniagaan dan organisasi antarabangsa untuk melindungi dan memartabatkan setiap hak asasi manusia dengan sebenar-benarnya, tambahnya.