MAIPs laksana ‘Program Rezeki Subuh’ mulai 1 Februari
MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan melaksanakan ‘Program Rezeki Subuh’ selama 40 hari mulai Khamis, 1 Februari ini.
Pihak MAIPs memperuntukkan sumbangan berjumlah RM334,000 untuk pelaksanaan sumbangan RM3 bagi setiap kanak-kanak yang hadir menunaikan Solat Subuh berjemaah.
Ia akan melibatkan 101 buah masjid seluruh Perlis dalam tempoh berkenaan.
Program ini adalah bertujuan untuk menggalakkan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun untuk hadir menunaikan Solat Subuh secara berjemaah.
Keputusan untuk pelaksanaan program ini diperoleh dalam Persidangan MAIPs Bilangan Pertama Bagi Tahun 2024 pada 23 Januari lalu di Bilik Senat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra, Arau.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua MAIPs berkenan melancarkan “Program Rezeki Subuh” itu di akhir persidangan. – SM