Ibu bapa mana yang tidak luluh hati apabila mendapat tahu anaknya menghidap leukemia atau kanser darah sejak 2019.
Buat Syarafuddin Ismail, 35, menyifatkan itu semua sudah ketentuan ilahi dan redha apabila mendapat tahu anak kelima daripada enam beradik Nur Syalia, 9, disahkan doktor menghidap penyakit yang ditakuti semua orang.
Dia yang bekerja sebagai pemandu lori berpendapatan RM1,800 berkata, anaknya dikesan menghidap leukemia sewaktu berusia empat tahun.
“Perubahan berlaku pada anak saya apabila tapak tangan seperti tidak ada darah lalu mendapat rawatan di wad pediatrik Hospital Melaka dan doktor mengesahkan ada sel darah kanser.
“Doktor menyarankan saya mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tunku Azizah (HTA) di Kuala Lumpur dan anak saya disahkan menghidap leukemia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gelam, Pantai Kundor di sini semalam.
Syarafuddin berkata, dia seperti tidak percaya apabila dimaklumkan oleh doktor namun dia akur dengan takdir dan tidak patah hati untuk mendapatkan rawatan terbaik agar Nur Syalia dapat pulih seperti kanak- kanak lain seusianya.
Katanya, hasil daripada kimoterapi yang dijalankan di HTA ada khabar gembira apabila doktor mengesahkan anaknya itu bebas penyakit berkenaan.
“Dalam tempoh beberapa tahun anak saya hidup seperti biasa tetapi pada awal Disember lalu tiba-tiba perubahan berlaku pada Nur Syalia apabila seluruh badannya pucat seperti yang berlaku pada 2019,” ujarnya.
Katanya, dia dengan segera membawa anaknya mendapat rawatan di Hospital Melaka pada 3 Disember sebelum keesokan harinya terpaksa dipindahkan ke HTA untuk rawatan lanjut.
“Saya betul-betul tergamam dan sedih melihat anak saya belum pulih lagi daripada penyakitnya dan kini terpaksa berulang alik semula ke HTA untuk mendapat rawatan seperti pada 2019,” katanya.
Lebih mengejutkan katanya, doktor mengesahkan sel kanser anaknya yang bersekolah di tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gelam kembali aktif dan situasi kali ini lebih serius serta memerlukan rawatan rapi untuk anaknya pulih.
Katanya, sewaktu rawatan pertama dia mengeluarkan duit simpanan berjumlah RM50,000 demi menyelamatkan nyawa anaknya itu.
Menurutnya, sebelum ini isterinya, Nurul Aida Adha Raduan, 34, terpaksa berhenti kerja sebagai tukang masak di sebuah cafe di Sungai Udang kerana semata-mata menjaga anaknya.
Katanya, pendapatannya sebagai pemandu lori tidak cukup untuk menampung kos rawatan di HTA dan kali ini dia memerlukan lebih daripada RM50,000 bagi anaknya menjalani kimoterapi bermula 23 Januari ini.
Syarafuddin berkata, dia memerlukan bantuan daripada orang ramai kerana perlu mendapat ubat sebotol berharga RM8,500 dan doktor menyarankan untuk membeli sebanyak tujuh botol melibatkan kos RM59,500.
Katanya, itu tidak termasuk pampers, susu, perbelanjaannya ulang-alik ke HTA dan sebagainya.
Justeru, dia sangat mengharapkan bantuan daripada orang ramai untuk meringankan beban yang ditanggung dan memastikan anaknya dapat terus diberikan rawatan.
Bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban keluarga Nur Syalia, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam milik Syarafuddin Ismail (04042021778937) atau berhubung dengannya di talian 011-31981878 atau isterinya, 011-31281878. – SM