Lim Hui Ying bukan lagi Timbalan Menteri Pendidikan, kini bertukar portfolio
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berikrar akan mencuba sedaya upaya menunaikan amanah yang baru digalas berlandaskan dasar Kerajaan Perpaduan serta mengamalkan prinsip integriti mulia.
Ahli Parlimen Tanjong yang beralih portfolio daripada Timbalan Menteri Pendidikan itu turut menyifatkan pelantikannya seperti diumum Perdana Menteri pada rombakan Kabinet hari ini adalah cabaran baharu buat dirinya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan melantik saya sebagai Timbalan Menteri Kewangan bagi membantu usaha pembangunan negara.
“Harapan rakyat adalah sangat tinggi dan barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan telah diberi tanggungjawab untuk memperjuangkan kebaikan rakyat dan negara.
“Pengalaman sebagai Timbalan Menteri Pendidikan akan dapat membantu saya menjalankan tugas berkaitan perbendaharaan negara bersama dengan Menteri Kewangan,” katanya dalam kenyataan menerusi akaun media sosial rasminya hari ini.
Hui Ying, 60, turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menjadi rakan seperjuangan beliau sejak mereka dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Pulau Pinang.
“Tidak lupa juga kepada pertubuhan bukan kerajaan berkaitan pendidikan. Terima kasih atas dedikasi, komitmen dan kerjasama anda semua dalam memperjuangkan isu pendidikan demi semua anak Malaysia.
“Saya akan memikul amanah dan tanggungjawab yang penting ini dengan sebaik yang mungkin dan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia,” katanya. – SM
BACA Pelantikan Amir Hamzah Azizan beri kesan positif pasaran kewangan
BACA Lebih banyak usaha celik kewangan perlu dipertingkat peringkat sekolah – Ahmad Maslan