Menteri MOTAC turut jayakan lawatan kerja PM Anwar ke Sadao, Thailand
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menyertai lawatan kerja ke Sadao, Thailand bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlangsung baru-baru ini.
Lawatan kerja Perdana Menteri ini adalah atas jemputan rakan sejawatannya, Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama (TYT) Srettha Thavisin yang bertujuan untuk melihat kemajuan kerja bagi projek Jajaran Jalan yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand.
Lawatan kerja ini juga merupakan susulan persetujuan yang dicapai semasa lawatan TYT Srettha ke Malaysia pada 11 dan 12 Oktober lalu.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuklah penubuhan pasukan bertugas bersama Malaysia-Thailand, kerjasama dalam bidang pelancongan, keselamatan sempadan dan lain-lain agar dapat memudahkan pelancong-pelancong antara kedua-dua negara.
Ia memperlihatkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuhkan lagi hubungan persahabatan yang baik dan erat di antara dua negara berjiran, terutamanya dalam pembangunan bersama di sempadan.
Selain daripada Menteri MOTAC, Perdana Menteri turut diiringi oleh delegasi rasmi yang dianggotai oleh beberapa ahli Jemaah Menteri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan daripada kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan. – SM
Artikel berkaitan > Thailand berhasrat naik taraf sempadan Bukit Kayu Hitam – Sadao