Nasional

Pembinaan pasar baharu Pasir Pinji tingkatkan sosio ekonomi penduduk setempat

PEMBINAAN Pasar Sementara Pasir Pinji bertempat di tapak projek pasar sementara Pasir Pinji, Ipoh dapat menyumbang kepada peningkatan tahap sosio-ekonomi dan kualiti hidup masyarakat setempat.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pembinaan pasar sementara Pasir Pinji itu telah bermula pada 5 September 2023 melibatkan peruntukan sebanyak RM1.54 juta dengan penyaluran  peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebanyak RM1 juta dan lebihan peruntukan berjumlah RM540,000 turut ditanggung bersama oleh pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Katanya, projek itu dijangka siap pada 19 Februari 2024 dengan mengambil masa selama 6 bulan tempoh kesiapan kerja-kerja pembinaan dan pemindahan peniaga ke pasar sementara dijangka akan bermula pada bulan Mac 2024.

B”agi pelaksanaan pembinaan Pasar Baru Pasir Pinji pula, proses pelantikan perunding sedang dijalankan dan  dijangka selesai pada awal November 2023.

“Perunding yang berjaya akan menyiapkan reka bentuk pasar baru dalam tempoh tiga bulan selepas lantikan dan seterusnya, proses tender bagi pelantikan kontraktor Pembinaan Semula Pasar Baru Pasir Pinji akan bermula pada awal Februari 2024.

“Pelaksanaan projek pembinaan pasar baru ini dijadualkan bermula pada April 2024 dengan tempoh pelaksanaan 24 bulan dan dijangka siap pada Mac 2026,” katanya pada majlis pecah tanah projek berkenaan.

Katanya, Pasar Pasir Pinji yang berusia lebih daripada 50 tahun ini merupakan pasar lama yang uzur dan daif di mana menempatkan seramai 178 peniaga sedia ada.

Justeru, pembangunan semula pasar awam ini dapat meningkatkan kualiti serta taraf kemudahan pasar,  perkhidmatan awam yang berkaitan dan menyediakan  persekitaran yang lebih selesa  kepada peniaga dan pengunjung.

Sebanyak 187 lot perniagaan akan disediakan di pasar baru tersebut dengan mengutamakan pelesen sedia ada dan turut memberi peluang kepada permohonan baru bagi memenuhi ruang perniagaan.

Selain itu, ruang letak kenderaan yang mencukupi juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan pasar.

“Pembangunan semula Pasar Pasir Pinji ini dapat menyumbang kepada peningkatan tahap sosio-ekonomi dan kualiti hidup masyarakat setempat.

“Sumbangan peniaga kecil tidak pernah dipandang remeh oleh KPKT, malah peningkatan ekonomi mikro turut memberi kesan positif kepada ekonomi negara,” katanya.

KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan sentiasa bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara bagi merealisasikan perancangan pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat.

Kecemerlangan mutu perkhidmatan KPKT juga akan terus dipertingkatkan dalam memastikan segala manfaat dapat dinikmati oleh rakyat sejajar dengan hasrat Kerajaan Perpaduan demi kesejahteraan masyarakat Malaysia MADANI. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button