Nasional

Peruntukan khusus diperlukan untuk mendigitalkan pendidikan negara

Kerajaan perlu memberi tumpuan khusus kepada penambahbaikan kemudahan dan infrastruktur pengajaran dan pembelajaran di sekolah bagi memastikan agenda pendigitalan pendidikan dalam sistem pendidikan negara dapat dicapai sepenuhnya pada tahun hadapan.

Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Dr Anuar Ahmad berkata, bagi tujuan itu, kerajaan perlu menyediakan peruntukan khas dalam Bajet 2024 untuk dibentangkan bulan ini bagi memacu pendigitalan pendidikan.

“Dalam usaha memacu agenda pendigitalan pendidikan, setiap sekolah perlu mempunyai capaian internet yang baik bukan sahaja di kawasan bandar malah di luar bandar bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

“Selain itu, bagi melancarkan sesi pengajaran dan pembelajaran, penyediaan peranti yang sesuai juga perlu diberi keutamaan, selain perluasan skim bantuan peranti bagi memastikan lebih ramai pelajar daripada keluarga miskin mendapat manfaat daripadanya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Anuar yang juga Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata guru juga perlu dilengkapkan dengan kemahiran pedagogi berasaskan teknologi maklumat.

Bagi tujuan itu, kerajaan juga perlu menyediakan peruntukan khas untuk program latihan bagi meningkatkan kemahiran pedagogi guru.

Selain itu, peruntukan untuk menyediakan lebih banyak kandungan digital juga perlu diperuntukkan,” katanya.

Selain itu, Anuar berkata, bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diangkat sebagai arus perdana dalam sistem pendidikan negara dan bukan lagi sebagai pilihan kedua memandangkan bidang itu hari ini melibatkan aspek teknologi tinggi seperti Kepintaran Buatan termasuk robotik.

“Program TVET juga perlu dipelbagaikan tentang bentuk kursus yang ditawarkan mengikut keperluan semasa seperti memperkenalkan kemahiran teknologi teknikal dalam bidang pengajian TVET untuk pertanian dan penternakan.

“Kerajaan perlu menyediakan lebih banyak TVET dan peluang pengajian teknikal kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia di samping membina lebih banyak TVET dan institusi teknikal baharu.

Bukan itu sahaja, kerajaan juga perlu menyediakan insentif untuk menarik dan melibatkan lebih banyak pihak swasta dalam menyediakan peluang kerjaya di TVET dan bidang teknikal,” tambahnya lagi. -SM

BACA UPSI tubuh FKMT perkasa pendidikan pendigitalan negara

BACA Masyarakat perlu sedar agenda pendidikan negara tidak boleh dilaksana bersendirian – Raja Muda Perlis

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button