MPCCSustAward 2023 cetus budaya TVET sayang alam sekitar
Penganjuran Malaysian Polytechnic and Community Award 2023 (MPCCSustAward 2023) dilihat berupaya mencetuskan budaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sayang alam sekitar di kalangan pelajar dan pensyarah Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC).
Pengarah Kanan Akademik , Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Mohd Noor Shahudin berkata, ini dibuktikan dengan usaha berterusan ini membolehkan POLYCC telah menganjurkan program ini bagi tahun keempat.
“Program ini merupakan satu inisiatif murni untuk menggalakkan dan mendedahkan pensyarah dan pelajar POLYCC tentang kepentingan menjaga alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutupan MPCCSustAward 2023 di Dewan Sri Mas, POLIMAS semalam .
Sementara itu, Pengarah POLIMAS, Rusli Idris, dalam ucapan aluannya berharap semua pihak bersatu untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan, mempromosikan kesedaran mengenai isu-isu alam sekitar dan berperanan aktif dalam memulihara alam sekitar untuk generasi masa depan.
“Ini adalah aspirasi yang harus diterapkan dalam setiap aspek kehidupan kita sebagai warga POLYCC,” katanya.
MPCCSustAward 2023 ini dianjurkan Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dengan kerjasama Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Kedah.
Anugerah ini merupakan kemuncak kepada pelbagai program dan pertandingan inisiatif hijau seperti Projek Mampan JPPKK, Jerayawara dan Pelancaran Portal MPCC, Sesi Perkongsian Webinar, Kertas Penyelidikan Terbaik dan Projek Kampus Hijau serta penganugerahan SmartGreen PolyCC 2023.
Sekaligus ia sebagai platform kepada staf, pensyarah dan pelajar POLYCC dari seluruh Malaysia untuk mempertandingkan inisiatif hijau yang dihasilkan oleh mereka.
Daripada 83 penyertaan ini, POLIMAS telah memperolehi tempat kedua bagi Anugerah Pengurusan Pengangkutan Hijau POLYCC 2023 kategori Politeknik dan tempat ketiga bagi Anugerah Pengurusan Perolehan Hijau POLYCC 2023, dan Anugerah Pengurusan Penjimatan Air POLYCC 2023 kategori Politeknik.
Anugerah tertinggi dalam MPCCSustAward 2023 iaitu Anugerah SmartGreen POLYCC 2023 bagi kategori Politeknik dimenangi oleh Politeknik Mukah, Sarawak, manakala bagi kategori Kolej Komuniti, anugerah ini dimenangi oleh Kolej Komuniti Selandar, Melaka.
Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Mohd Noor yang berupa plak dan sijil disampaikan mengikut kategori yang dipertandingkan. – SM
BACA TVET kini rebutan pelajar terutama lepasan SPM – Raja Muda Perlis