Sukan

Murid tahun 5 cipta rekod angkat berat

Murid Tahun 5 Sekolah Kebangsaan (SK) Nyalas dekat sini, Muhammad Ilham Hakim Samsur mencuri perhatian apabila memperbaharui rekod kejohanan bagi kategori 40 kilogram (kg) di Kejohanan Bakat Kebangsaan Sukan Angkat Berat Melaka Siri 2/2023
di Melaka Mall di sini hari ini.

Walaupun baru berusia 11 tahun namun anak keenam daripada tujuh beradik itu dengan ketinggian 1.4 meter tidak berdepan masalah mengetepikan enam saingan lain untuk merangkul pingat emas apabila berjaya mengangkat bebanan keseluruhan 100kg bagi usia bawah 13 tahun.

Di kejohanan yang sama di Bukit Jalil tahun lalu, Muhamad Ilham Hakim berjaya mencipta rekod kejohanan bagi kategori 40kg dengan angkatan keseluruhan seberat 89kg.

“Memang saya sasarkan untuk melepasi angkatan 100kg dan alhamdulillah saya berjaya melakukannya.

“Ini adalah berkat usaha saya menjalani latihan gigih setiap kali balik sekolah di pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri Asahan,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Pemenang pingat perak dimenangi Muhd. Izz Iman dari Perak dengan angkatan 84kg manakala gangsa menjadi milik Muhd. Iman Nur Hakim dari Melaka dengan bebanan 56kg.

Muhammad Ilham Hakim berkata, dia mahu mengikut jejak langkah kakaknya Nurul Syasa Khairina yang memenangi pingat emas dalam acara 49kg di Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022.

Katanya, dia bercita-cita ingin menjadi atlet angkat berat kebangsaan tersohor termasuk mahu mencipta nama memenangi pingat di Sukan Olimpik.

“Sukan angkat berat adalah acara paling saya minati sejak dulu dan atas dorongan ayah membuatkan keyakinan saya makin menebal,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button