Nasional

Pertahan warisan budaya mencerminkan legasi sejarah Negara Merdeka

WARISAN dan budaya bangsa wajar dipertahankan kerana ia mencerminkan legasi sejarah negara selepas kita menikmati kemerdekaan dan tidak lagi dicengkam penjajah.

Pengarah Institut Peradaban Melayu , Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI) , Prof Dr Tajul Shuhaizam Said berkata sejak negara mencapai kemerdekaan, warisan budaya telah menjadi simbol penting yang mencerminkan perjalanan panjang sebagai sebuah bangsa yang merdeka.
Katanya, warisan budaya tidak hanya memperkaya keindahan visual, tetapi juga menyimpan cerita-cerita berharga tentang perjuangan dan pencapaian bangsa.

Menurut beliau dari sudut seni tradisional hingga adat istiadat unik mempunyai daya tarikan tersendiri, malah melalui seni bina, lukisan, dan seni ukir, kita dapat melihat betapa kreativiti dan kebijaksanaan nenek moyang kita dalam menghiasi dunia mereka.
Sebagai contoh, katanya, perayaan tradisional seperti Hari Raya, Deepavali, dan Tahun Baru Cina juga mencerminkan kepelbagaian budaya yang kita anuti.

Namun, katanya, warisan budaya tidak hanya berkisar pada keindahan, tetapi turut mencerminkan semangat perjuangan dan kesatuan.

Beliau berkata monumen dan tugu peringatan merdeka mengingatkan kita akan pengorbanan para pahlawan negara mempertahankan tanah air demi mencapai kemerdekaan.

Lagu-lagu patriotik yang menjadi nyanyian sepanjang zaman menggambarkan semangat kebangsaan yang berkekalan.

“Penting untuk kita menyedari bahawa warisan budaya adalah titian yang menghubungkan kita dengan masa lalu, memandu kita di tengah-tengah zaman ini, dan membentuk landasan untuk masa depan.

Oleh itu, katanya, usaha pemuliharaan dan pengekalan warisan budaya adalah tanggungjawab bersama.

Pelibatan generasi muda dalam memahami dan menghargai warisan ini adalah penting agar warisan ini terus hidup dan relevan.

Beliau berkata dalam mengapresiasi warisan budaya, kita juga perlu melihatnya sebagai satu elemen yang mengikat kita sebagai sebuah bangsa merdeka, malah menjadi tanggungjwab kita untuk menjaga dan memelihara apa yang dicapai sebelum ini .

“Justeru, kita perlu menyuarakan dan mempertahan jati diri sebagai rakyat negara merdeka yang bangga akan warisan, begitu juga dalam konteks arahan kerajaan mewajibkan kakitangan sektor awam memakai baju batik pada setiap Khamis dan digalakkan pada hari lain memakainya, “ katanya.

Industri batik bukan sahaja cerminan jati diri Melayu, namun, katanya, menjadi sumber pendapatan yang mengangkat taraf ekonomi dan warisan Melayu.

Beliau berkata perihal warisan ketara dan tak ketara juga antara aset penting pencirian negara yang selari dengan konsep Malaysia Madani. -SM

Baca : PM berpuas hati dengan prestasi Amanahraya

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button