Beechcraft 390 Premier 1 ada satu komponen kotak hitam
PESAWAT Beechcraft 390 Premier 1 yang terhempas di kawasan taman perumahan Elmina 8 Central Park, Seksyen U16, Shah Alam, Selangor pada petang semalam tidak memiliki Perakam Data Penerbangan (Aircraft Data Recorder) sebagaimana lazimnya dimiliki mana-mana pesawat komersial.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain@Abd Rasid berkata, sebaliknya pesawat itu hanya mempunyai kotak Perakam Data Kokpit (Cockpit Data Recorder) dan ia sudah ditemui malam tadi.
Beliau berkata, hasil dapatan Biro Kemalangan Udara (BSKU) turut mengesahkan pesawat berkenaan hanya mempunyai satu komponen kotak hitam iaitu rakaman suara kokpit (CVR).
“Jadi pesawat ini hanya ada satukotak hitam jenis CVR, dan ianya sudah ditemui semalam, bukan dua seperti yang kita jangka sebelum ini.
“Pesawat sebegini memang tidak ada bahan (Perakam Data Penerbangan) itu yang kita cuba cari sejak semalam. Jadi ia sudah diambil ( Perakam Data Kokpit) untuk membantu siasatan lewat malam tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini pencarian kotak hitam pesawat itu.
Pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang membawa lapan penumpang termasuk dua kru terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam.
Pesawat itu turut terhempas di atas sebuah kereta dan motosikal yang mana kedua-dua orang awam yang menggunakan jalan di lokasi kejadian, turut meninggal dunia.
Dalam pada itu, tragedi pesawat yang terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam terus menjadi tumpuan utama.
Setelah operasi mencari kesemua mayat selesai dijalankan malam tadi, proses pengecaman mayat diadakan di Hospital Ampuan Rahiman (HTAR), Klang hari ini oleh waris.
Dalam kejadian menyayat hati berlaku petang semalam, 10 mangsa dikenal pasti terkorban termasuk Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai.
Kronologi kejadian, rakaman nahas daripada orang awam yang berada di lokasi kejadian mula tersebar di media sosial kira-kira jam 3.30 petang semalam.
Susulan itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi kenyataan medianya mengesahkan kemalangan tersebut.
Pesawat jenis jet peribadi,yang dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd itu,dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Mat Sirat di Langkawi pada jam 2.08 petang.
Ia mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang namun terhempas dua minit sebelum mendarat.
Tiada sebarang panggilan kecemasan diterima daripada pesawat tersebut dan ini disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Norazman Mahmud.
Untuk proses pengecaman mayat, unit forensic Polis mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada 22 waris.
Pengambilan sampel ini adalah untuk melaksanakan proses pemadanan dengan 10 mayat mangsa yang ditemukan di lokasi kejadian.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain dilaporkan berkata, proses pemadanan DNA dibuat di lokasi bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, hari ini..
Setakat ini beliau mengesahkan penemuan satu mayat lengkap manakala sembilan lagi mayat dalam keadaan tidak sempurna.
“Kita masih menunggu laporan bedah siasat dan selepas hasil pemadanan DNA baru boleh ketahui jumlah sebenar mangsa terlibat yang setakat ini disahkan 10 orang,” jelas beliau.
Beliau berkata, setakat ini telah dapat dikumpulkan 15 sisa mayat tidak lengkap.
Sekiranya proses bedah siasat selesai, jenazah akan diserahkan kepada waris untuk diuruskan hari ini, katanya.
Razarudin juga memaklumkan 21 barangan peribadi mangsa turut ditemui di lokasi kejadian.
“Setakat ini 95 peratus operasi mencari telah selesai dan kerja-kerja akhir mencari saki baki serpihan bangkai pesawat dan sisa mayat masih berjalan.
“Ia dijangka selesai hari ini dengan meliputi kawasan seluas 11,000 kaki persegi,” katanya. – SM
BACA Berhenti sebar visual, video tragedi pesawat terhempas, MCMC ambil tindakan