NasionalNegeriPendidikan

Pemangku Raja Perlis sempurnakan pelancaran Ulangtahun Ke-10 KUIPs

Kapsul masa dibuka 10 tahun dari sekarang oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra

PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Pelancaran Ulang Tahun Ke-10 Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Mes Pegawai Kanan Polis, Jalan Raja Muda, Kangar hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Rektor KUIPs, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle.

Hadir sama Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah pada pelancaran Ulang Tahun Ke-10 KUIPs di Mes Pegawai Kanan Polis, Jalan Raja Muda, Kangar hari ini.

Hari bersejarah KUIP slogan ‘Di Sini Pencinta Sunnah Dilahirkan’ ini diserikan lagi dengan pelancaran logo, lagu tema dan juga kapsul masa untuk dibuka 10 tahun dari sekarang oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Canselor KUIPs.

Demi meningkatkan daya kebolehpasaran graduan yang berkualiti, Tuanku Pemangku Raja bertitah supaya KUIPs dapat terus meningkatkan dan menambah penawaran program-program pengajian yang kompetitif di peringkat siswazah, mahupun pascasiswazah.

“Pada masa yang sama ahli akademik dan tenaga pengajar harus lebih proaktif dalam memastikan para mahasiswa mendapat pendidikan yang berkualiti dan silibus pembelajaran selari dengan peredaran masa,” titah Baginda.

Baginda bertitah, dalam usaha untuk mencapai status universiti penuh, pihak pengurusan serta semua warga kerja KUIPs hendaklah berusaha dengan berlipat ganda serta lebih agresif lagi untuk mencari penyelesaian strategi jangka pendek mahupun jangka panjang demi memenuhi segala syarat yang ditetapkan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menerima sembah cederamata dari Dr. Muhamad Rozaimi selepas Baginda menyempurnakan Pelancaran Ulang Tahun Ke-10 KUIPs di Mes Pegawai Kanan Polis, Jalan Raja Muda, Kangar hari ini.

Baginda bertitah, antaranya menambah jumlah pelajar supaya mencapai sekurang-kurangnya 2,000 orang dalam tempoh terdekat ini.

Titah Baginda, kedudukan KUIPs dalam SETARA juga perlu diusahakan untuk mencapai tahap 5 khususnya dalam aspek akademik, penyelidikan, penerbitan dan tadbir urus.

“Beta harap pihak pengurusan memantapkan lagi polisi yang sedia ada terutama sekali dalam aspek akademik dan pentadbiran yang merangkumi kebajikan setiap staf di KUIPs ini,” titah Pemangku Raja.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Baginda berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Cipta Logo KUIPs 10 tahun kepada Nurshafika Mohd Badri. – SM

BACA Pemangku Raja Perlis tutup Festival Seni, Budaya dan Bahasa KUIPs

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button