Tony Pua mulut longkang – Ka Siong
KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menyelar Penasihat Dasar DAP, Tony Pua sebagai mulut longkang dan mulut celupar.
Menurut Ka Siong, tindakan bekas Setiausaha Publisiti DAP itu yang melabel Barisan Nasional (BN) sebagai pakatan korup ibarat melafazkan talak tiga kepada kerjasama komponen parti di dalam kerajaan perpaduan.
Ka Siong menganggap kenyataan tersebut tidak menggambarkan semangat kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan yang patut ditunjukkan kepada penyokong parti dan rakyat.
“Saya berasa kesal malam tadi berlakunya satu episod yang tidak diduga, pemimpin seperti Tony Pua menyerang BN sebagai parti korup. Kalau kata parti korup, sudah melafazkan talak tiga umpamanya. Di mana asasnya kerjasama?
“Saya pelik, ini mulut celupar atau mulut longkang? Kalau kita nak berkawan kita tidak buruk-burukkan kawan kita dengan teruk.
“Sebenarnya kita kalau dalam satu kerajaan kita patut lakukan sebagai sebuah kerajaan saya tidak tahu kenapa perlu ungkit perkara sebegitu,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan Koperasi Serbaguna Malaysia (KSM) Kali Ke-43 di Wisma MCA.
Beliau dalam masa yang sama mempersoalkan tindakan Tony mengeluarkan kenyataan tersebut tatkala rundingan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) sedang berlangsung.
Ujar Ka Siong, sudah tentu kata-kata Tony semalam di Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP akan mengelirukan penyokong parti yang bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau juga tidak menafikan ia bakal menjejaskan kerjasama dalam kerajaan berkenaan.
“Ramai yang bingung apa yang berlaku ni?
Kalau dia ungkit begitu orang akan jawab balik, macam mana parti sendiri?
“Kalau kita dukung semangat kebersamaan Kerajaan Perpaduan keikhlasan itu patut ditunjukkan bukannya sebaliknya.
“Kalau di sebaliknya tindakan sebegitu, dengan mulut celupar dengan longkang, akan memudaratkan kerjasama. Lihatlah reaksi daripada penyokong parti, semuanya teruk.
Selain itu beliau menegaskan, BN mempunyai maruah meskipun menyokong kerajaan pada hari ini untuk mendapatkan sokongan majoriti selepas pilihan raya yang lalu.
“Setiap parti ada maruah sendiri. Jangan sampai kita melafazkan talak tiga lepas tu minta undi dari orang lain, seolah-olah kamu minta curahkan kasih sayang dengan isteri yang sudah diceraikan.
“Kamu memperkotak-katikkan sokongan parti lain bagai bidak catur kamu. Kita terasa dengan apa yang dia cakap.
“Apakah dia nak dilihat keadaan kucar-kacir, nak menang sendiri?,” tegasnya lagi.
Mengulas lanjut Ka Siong berkata, setiap pemimpin perlu terus melangkah ke hadapan tanpa mencetuskan provokasi antara satu sama lain.
“Agong kata move on, semua pemimpj dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga kata move on. Jadi kita move onlah,” tambah beliau.
Hari ini, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh membalas kenyataan Pua dengan mengatakan bekas Ahli Parlimen Damansara itu perlu cermin diri sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan dengan mendakwa BN sebagai pakatan yang korup.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang bingkas membuat kenyataan balas berkata, sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini