Analisis

PRN sebagai ‘wake-up call’ kerajaan Madani

RAMAI gemar menggembar-gemburkan bahawa kerajaan perpaduan atau kerajaan Madani ini akan tumbang jika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) kalah teruk.

Menurut teori itu, apabila keputusan teruk membabitkan UMNO, pastinya parti itu akan mengkaji semula kerjasamanya dengan DAP yang dilihat menjadi punca kepada kemerosotan sokongan masyarakat Melayu dan ahli UMNO sendiri.

Justeru itu kemungkinan UMNO dan BN akan menarik sokongan daripada kerajaan Madani dan menyebabkan ia tumbang.

Teori itu bukan sesuatu yang mustahil, tetapi kemungkinan besar tidak akan berlaku kerana ia melibatkan banyak pihak yang perlu besar dengan pelan tersebut.

Sudah tentu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan membenarkan ia berlaku.

Saya lebih melihat pilihan raya negeri atau PRN ini adalah penggera kepada kerajaan dewasa ini supaya lebih berusaha keras menyelesaikan masalah rakyat yang terbelenggu dengan kos sara hidup tinggi, ekonomi yang semakin memburuk dan peluang pekerjaan yang semakin menguncup.

Kesemua itu berpunca daripada krisis keyakinan di dalam negara dan di luar negara terhadap kerajaan ini sama ada mampu bertahan atau tidak, serta mampu mengurus negara ini dengan baik.

Lantaran situasi ekonomi yang buruk ia menjadi lebih sukar untuk Malaysia menghadapi tantangan yang ada.

Lebih buruk lagi para menteri kabinet yang ada pada masa ini tidak cukup pengalaman untuk mengendali situasi ekonomi yang sangat kompleks, sedangkan mereka masih lagi ditahap mempelajari sesuatu hal.

Bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri mengakui ketika mencari formula untuk mengatasi kegawatan ekonomi pada tahun 1997, beliau perlu melakukan penyelidikan selama setahun.

Akhirnya beliau menggunakan pendekatan menambat mata wang ringgit yang menjunam ketika itu. Bagaimanapun kata beliau situasi itu tidak sama dengan keadaan sekarang di mana seluruh dunia berdepan dengan krisis ekonomi ekoran pandemik Covid-19 yang melanda.

Jadi kerajaan khususnya menteri kewangan dan menteri ekonomi perlu mencari formula yang paling sesuai untuk menangani keadaan ekonomi negara.

Namun, setakat ini perdana menteri yang juga menteri kewangan lebih banyak berkempen politik daripada memberi tumpuan kepada menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh negara.

Oleh itu rakyat perlu memberi isyarat kepada kerajaan dengan menolak calon-calon dari parti pemerintah untuk mengingatkan mereka supaya lebih serius menguruskan negara ini dan bukannya terkinja-kinja di sana dan di sini.

Lebih enam bulan kerajaan ini dilihat masih lagi di dalam mood berbulan madu. Sebab itu sesebuah kerajaan atau pemimpin biasanya dinilai selepas 100 hari mengambil tugas dan jika gagal dalam tempoh itu, ia tidak akan berjaya walaupun 100 tahun mendatang.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button