POLIMAS, MDB tandatangani kolaborasi perkasa kerjasama
POLITEKNIK Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) menandatangani kolaborasi bagi memperkasa kerjasama dengan Majlis Daerah Baling (MDB).
POLIMAS diwakili oleh Pengarahnya, Rosli Idris manakala MDB pula oleh Yang Di Pertuanya, Shahadan Abdullah di majlis yang diadakan di POLIMAS, Jitra.
Ia diadakan serentak dengan Majlis Pembentangan Akhir Pelajar yang melibatkan Draf Rancangan Kawasan Khas Ulu Legong, Mukim Siong, Baling,Kedah yang merupakan kawasan dibawah pentadbiran MDB.
Hadir sama Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Salmiyah Che Ahmad dan Penolong Pegawai Perancangan Bandar MDB, Zaifol Md Akhir.
Rosli berkata, kolaborasi ini membolehkan kerjasama diadakan oleh POLIMAS dengan MDB supaya dapat membuka peluang dalam perkongsian kepakaran dalam bidang perancangan bandar bagi menjalankan pelbagai program dan pembangunan produk pelancongan di Daerah Baling”.
Katanya, pensyarah dan pelajar POLIMAS turut terlibat membangunkan laman web pelancongan Baling yang lebih dikenali dengan nama “Smart Tourism Map Baling” untuk membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat destinasi pelancongan yang terdapat di Daerah Baling.
Sementara Shahadan dalam ucapannya berkata, pihaknya berbesar hati kerana POLIMAS sudi menjalinkan kolaborasi dengan MDB.
“Mungkin selepas ini banyak lagi kajian dapat dijalankan berserta dengan program lain seperti Program Kesukarelawan dan sebagainya,” katanya.
Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada pelajar dan pensyarah yang telah mereka bentuk website pelancongan yang dinamakan “Smart Tourism Map Baling” dalam usaha memperkenalkan destinasi pelancongan di Daerah Baling yang telah berjaya menjadi johan kategori A di Pertandingan Inovasi iCompEx 2022.
Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Yusma Yusof berkata, kolaborasi strategik dengan MDB sebenarnya akan memberi peluang kepada kedua belah pihak untuk bekerjasama melalui knowledge sharing dari segi aspek teori dan praktikal.
Di samping itu katanya, kolaborasi ini akan membuka peluang kepada pelajar POLIMAS dalam meningkatkan kemahiran dalam perancangan bandar.
Menurut beliau lagi, melalui kolaborasi ini juga akan dapat memberi maklum balas agensi kepada politeknik bagi menghasilkan pelajar yang menepati dengan kehendak pasaran. – SM