PERLIS bebas sepenuhnya dari memiliki premis judi mulai Mac tahun depan.
Exco Kerajaan Negeri, Fakhrul Anwar Ismail berkata, ini kerana sebuah dari enam premis judi di negeri ini paling akhir yang akan tamat tempoh lesen pada Mac.
Katanya, setakat ini setiap premis judi di negeri ini didapati tamat tempoh lesen pada tarikh yang berlainan.
“Lesen judi di negeri ini juga tidak lagi boleh dibaharui selepas tamat tempoh sekaligus pemansuhan ini tidak dilakukan secara drastik,” katanya kepada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Persiaran Wawasan di sini petang ini.
Fakhrul Anwar berkata, dengan penutupan enam premis judi ini juga dijangka tidak akan menjejaskan hasil negeri.
Katanya, ini kerana hanya RM2,544 sahaja jumlah cukai dikutip pada setiap tahun.
“Ia bukan satu jumlah yang besar dan tidak rugipun jika lesen judi tidak diperbaharui,” katanya.
Beliau berkata, setiap premis judi ini juga telah dimaklumkan lebih awal oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menerusi taklimat lisan dan juga surat pemberitahuan.
“Kerajaan negeri mengambil langkah yang lunak supaya tidak timbul sebarang kejutan,” katanya.
Lagipun katanya, inilah hasrat kerajaan “Perlis Baharu” apabila memegang tampuk pemerintahan di mana mahu menutup premis perjudian. – SM