KJ bakal jadi pemimpin kanan Bersatu?
Lebih ramai pemimpin UMNO menyertai Perikatan Nasional dan hari ini Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin sudah menyatakan pendirian untuk bersama Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, bekas ahli Parlimen Rembau itu menemui Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini namun tiada keputusan dibuatnya setakat ini.
“Setakat ini dia belum memutuskannya lagi, tetapi dia sudah menyatakan pendirian tetap bersama kita (PN).
“Dia dah jumpa (Muhyiddin) dan akan berjumpa lagi dalam masa terdekat, itu perkembangan terbaru, namun setakat ini belum ada keputusan.Tetapi saya percaya dalam waktu terdekat,” katanya seperti dilapor BH Online, hari ini.
Muhyiddin menawarkan Khairy jawatan majlis pimpinan tertinggi (MPT) sekiranya menyertai Bersatu.
Khairy dipecat daripada Umno pada Januari lalu dalam langkah Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membersihkan parti itu.
Sementara itu Takiyuddin berkata, pihaknya berharap Khairy dapat bersama dalam PN kerana ketokohan dan ketrampilannya dalam kepemimpinan kanan Umno sebelum ini.
“PN mengharapkan ‘sesuatu’ daripada dia (Khairy) sebab sebagai seorang pimpinan kanan dalam sebuah parti yang besar, tiba-tiba dipecat daripada parti itu.
“Sudah tentu dia perlukan satu platform yang sesuai untuk masa depan politiknya dan pada masa ini PN adalah paling sesuai,” kata ahli Parlimen Kota Bharu itu.
Perkembangan terbaharu itu turut menyebabkan spekulasi bahawa langkah itu akan turut disertai oleh seorang lagi bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Semalam, Tan Sri Annuar Musa telah secara sah menyertai Pas dan Perikatan Nasional dengan diikut oleh bekas exco pemuda dan ketua pemuda UMNO Seremban menurut langkah tersebut.
Dijangka lebih ramai pemimpin UMNO akan berbuat demikian kerana sudah tidak yakin dengan kepimpinan parti tersebut.
Walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan untuk menerima kembali pemimpin yang telah dipecat, ia tidak berlaku seperti yang diharapkan.