Bukan masanya naikkan umur persaraan-MEF
KUMPULAN majikan terbesar negara tidak melihat keperluan untuk mencontohi bank perdagangan dalam meningkatkan umur persaraan mandatori kepada 61 tahun.
Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) yang mewakili lebih 5,000 perniagaan berkata, ini bukan masa yang sesuai untuk menaikkan umur persaraan berikutan kadar pengangguran semasa.
“Peningkatan umur persaraan daripada 55 tahun kepada 60 tahun pada Julai 2013 mengakibatkan kehilangan kira-kira satu juta peluang pekerjaan untuk graduan baharu dan kemasukan baharu ke dalam pasaran buruh,” kata Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman.
Sehingga Mac, kadar pengangguran berada pada 3.5% dengan kira-kira 588,700 orang menganggur. Kadar pengangguran belia untuk umur 15 hingga 24 adalah 11.2% atau 317,300 orang.
Syed Hussain berkata, pekerja yang berumur lebih 60 tahun masih boleh ditawarkan kontrak jangka tetap jika mereka mahu terus bekerja.
“Pengambilan yang melebihi umur 60 tahun mestilah berdasarkan persetujuan bersama antara pekerja dan majikan,” katanya menurut laporan FMT.
Katanya lagi, ia akan menjadi sangat bergantung kepada prestasi pekerja, keadaan perubatan, disiplin dan produktiviti.
Minggu lalu dilaporkan, kakitangan bank perdagangan kini boleh bersara selepas mencapai usia 61 tahun iaitu setahun lebih tua daripada kebanyakan pekerja lain di negara ini.
Peningkatan umur persaraan diminta oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) sebagai cara untuk meningkatkan simpanan persaraan pekerja dalam kumpulan B40 (berpendapatan rendah) dan M40 (berpendapatan sederhana).
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Effendy Abdul Ghani pula berkata, walau pun beliau memahami rasional NUBE dalam menaikkan umur persaraan namun beliau tidak percaya ia akan menyelesaikan masalah dihadapi pekerja.
“Bagi MTUC, ia bukan soal menaikkan umur persaraan untuk menambah simpanan KWSP tetapi lebih kepada pendapatan.
“Gaji minimum kita harus disemak untuk menjadi gaji progresif. Jadi, melanjutkan umur persaraan bukanlah satu cadangan yang baik.
“Penstrukturan semula gaji adalah perkara terbaik untuk dilakukan kerana ia akan meningkatkan simpanan KWSP anda,” katanya.
Awal bulan ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan dasar gaji progresif. – SM