PRN: Rundingan UMNO-PH P. Pinang berjalan lancar
RUNDINGAN antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) berjalan lancar, kata Ketua Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Reezal ketika mengesahkan perkembangan itu bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenainya.
Beliau berkata, rundingan antara UMNO dan PH Pulau Pinang yang kini menjadi rakan kerjasama baharu politik bagi menghadapi PRN akan terus diadakan sehingga satu keputusan muktamad dipersetujui.
“Perjumpaan pertama berjalan dengan baik. Saya tak berhajat nak komen kerana bila ada rundingan maka bersifat prinsip dan asas yang ia sebaiknya dibincangkan secara ‘close door’ (tertutup).
“Hal ini juga (perbincangan tertutup) adalah antara persefahaman yang kita capai bersama pimpinan PH kerana dalam rundingan banyak sudut pandang akan dipersembahkan.
“Jadi, kita kena perhalusi semua cuma saya boleh maklumkan, ia berjalan baik dan lancar,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan, PH dan UMNO Pulau Pinang dijangka mengadakan mesyuarat kedua minggu depan bagi meneruskan perbincangan pembahagian kerusi menjelang PRN.
Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang dilaporkan berharap mesyuarat kedua akan membuahkan hasil dengan mendapat persetujuan kedua-dua pihak berhubung hal-hal berkaitan PRN.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, soal pembahagian kerusi dan hasil rundingan yang termeterai adalah sebaiknya dibuat oleh peringkat tertinggi.
“Cuma pada masa sekarang, saya boleh beri isyarat tidak ada benda yang tersekat kerana kami mempunyai keazaman bersama demi rakyat Pulau Pinang,” katanya. – SM
BACA PRK Chini: Tindakan tepat BN letak calon muda – Reezal Merican
BACA PRN: Kon Yeow dedahkan PH & UMNO Pulau Pinang bersatu, ‘tidak bercakaran’