Sebuah sindiket penyeludupan basikal elektrik atau e-bike bernilai RM742,000 ditumpaskan hasil risikan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka selama enam bulan.
Pengarahnya, Norlela Ismail berkata, rampasan melibatkan 264 unit basikal dipercayai dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang tanpa lesen import yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Menurutnya, syarikat yang beroperasi selama lima tahun itu menjalakan modus operandi dengan mengikrar sebagai alat ganti basikal.
Sebaliknya katanya, basikal elektrik yang dibawa masuk itu adalah lengkap diimport dari China dan tertakluk kepada lesen dan duti import.
“JKDM berjaya menyerbu sebuah premis di Kawasan Perindustrian Tasik Utama Melaka dan menyita 264 unit basikal elektrik tanpa lesen import daripada MITI.
“Basikal ini telah diimport dan diikrarkan sebagai alat ganti basikal sedangkan ia sebenarnya adalah basikal elektrik yang lengkap dan tertakluk lesen import melibatkan nilai dan duti berjumlah RM742,479.53,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JKDM Ayer Keroh di sini hari ini.
Norlela berkata, hasil risikan selama enam bulan itu, pihaknya turut menahan pemilik syarikat terbabit berusia 60-an dan menjadi sindiket penyeludupan basikal elektrik pertama ditumpaskan di negeri ini.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurutnya, dalam tempoh enam bulan JKDM telah berjaya mematahkan empat kegiatan penyeludupan melibatkan nilai RM6.5 juta sejak Disember lalu.
“Antara kejayaan itu adalah rampasan 405,600 tin minuman keras, 3.2 juta batang rokok putih serta 90 unit topi keledar motosikal yang tidak memenuhi standard ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya. – SM