Nasionalpilihan

Kes wabak denggi di Melaka terkawal

Kes demam denggi di negeri ini semakin menunjukkan penurunan apabila hanya satu lokaliti wabak itu yang masih aktif dikesan di Jalan Sekolah Padang Temu dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia Dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, terdapat enam kes dilaporkan sejak wabak itu melanda lokaliti itu bermula pada 26 April dan dijangka berakhir 22 Mei ini.

Menurutnya, enam kes tersebut membabitkan tiga lelaki dan tiga perempuan berusia antara 19 hingga 60 tahun manakala tiada kes kanak-kanak dilaporkan daripada wabak itu.

Beliau berkata, dari tempoh Januari sehingga 6 Mei lalu walaupun sebanyak 339 kes denggi telah dilaporkan di seluruh negeri ini namun setakat ini tiada kematian akibat wabak itu dilaporkan.

“Keseluruhannya bagi minggu ke-18 sebanyak 17 kes telah dilaporkan bermula dari 30 April hingga 6 Mei di mana 12 kes berlaku di Melaka Tengah, empat di Jasin dan satu di Alor Gajah.

“Terdapat penurunan sebanyak dua kes pada minggu ke-18 berbanding minggu sebelumnya. Mengikut kedudukan kes denggi di seluruh negara, Melaka di kedudukan ke-13 berbanding negeri lain.

“Bagi statistik terkini hanya satu lokaliti wabak yang masih aktif iaitu di Jalan Sekolah Padang Temu manakala dua lagi lokaliti iaitu di Kampung Solok, Alor Gajah dan Taman Merlimau Baru, Jasin tiada wabak aktif dilaporkan berlaku,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat lokaliti di Jalan Sekolah Padang Temu di sini hari ini.

Hee Sem berkata, walaupun Jalan Sekolah Padang Temu dilabelkan sebagai kawasan hitam namun keadaan di situ terkawal selepas dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah.

Menurutnya, mesyuarat Exco hari ini juga turut memutuskan untuk kerajaan negeri menganjurkan program Gotong Royong Perdana di setiap daerah di negeri ini dalam usaha membendung peningkatan kes denggi.

Jelasnya, beliau telah mengarahkan setiap Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri ini menganjurkan program gotong-royong di kawasan masing-masing.

“Masyarakat perlu peka dengan keadaan persekitaran pelbagai jenis bekas bahan buangan, sampah bekas makanan atau minuman serta barang lusuh sebenarnya berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” ujarnya. – SM

(Visited 45 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button