RAJA Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bertitah, era digital sebenarnya mempunyai kebaikan seperti penggunaan telefon pintar, serta pendidikan melalui pelbagai platform digital yang dapat memberikan manfaat kepada semua.
Baginda bertitah, pada masa yang sama golongan ibu perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk memantau penggunaan gajet di kalangan anak-anak.
“Pemantauan yang baik akan mampu memberi impak positif terutamanya kepada pendidikan dan pembelajaran awal anak-anak,” titah Baginda.
Titah Baginda, para ibu perlu memainkan peranan yang cukup besar supaya segala kebaikan berkaitan dengan digitalisasi mampu dimanfaatkan dengan baik oleh generasi sekarang dan akan datang, seperti penggunaan gajet untuk memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah.
Justeru di sini, jelas menunjukkan seseorang wanita atau ibu lebih menjurus kepada pendekatan melalui sentuhan dan perasaan kepada anak-anak.
Oleh itu, titah Baginda, sentuhan keibuan amatlah sesuai digunakan dalam pembangunan kemahiran insaniah anak-anak dan memberi impak yang sangat besar pada anak-anak.
“Lebihnya sentuhan ibu kepada anak, terkawallah penggunaan gajet anak-anak, lebihnya sentuhan ibu kepada anak, kuranglah implikasi buruk digitalisasi pada anak-anak, dan lebihnya sentuhan ibu kepada anak, Insya-Allah, terdidiklah anak-anak dengan baik dan sempurna,” titah Baginda.
Demikian titah Raja Puan Muda selepas berkenan menandatangani watikah-watikah penghargaan kepada ahli-ahli jawatankuasa serta panelis yang terlibat dalam menjayakan ’Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri ke-20 : Women In Search of Excellence’ bertemakan ”Sentuhan Keibuan Dalam Membangunkan Kemahiran Insaniah di Era Digital’.
Baginda selaku Pengerusi YTF menzahirkan ucapan tahniah kepada Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) di bawah kepimpinan Pengerusinya Prof Emeritus Ir Datuk Dr Kamarudin Hussin dengan kerjasama Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri Perlis di atas penganjuran webinar berkenaan serta ahli-ahli panel yang telah berkongsi ilmu, pengalaman serta pandangan tentang tema yang dipilih khas itu.
Webinar tersebut disempurnakan perasmian pembukaannya oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penasihat YTF. – SM