JenayahNasionalNegeri

11 pemandu langgar lampu merah antara 41 disaman JPJ Perlis

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan saman ke atas 11 pemandu “loklaq” yang terus meredah sekalipun lampu isyarat sudah bertukar merah.

Pengarahnya, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, kesalahan ini antara 41 saman dikeluarkan sempena Operasi Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) dari 18 hingga 24 April (semalam).

Beliau berkata, kes gagal mematuhi lampu isyarat ini banyak dikesan pada Op HRA di persimpangan lampu isyarat Taman Saujana Idaman @ Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) Kubang Gajah, Arau.

“JPJ Perlis tidak akan berkompromi dengan pemandu “loklaq” yang enggan mematuhi isyarat lampu merah kerana ia membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Katanya, juga dikesan satu kes menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang keledar (4) dan gagal mematuhi isyarat lalulintas (jalan sehala) pula dua kes.

“Sebanyak 10 kes pula membabitkan penunggang motosikal tidak memakai topi keledar,” katanya.

“Masih ada lagi pemandu sesuka hati membuat pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan, JPJ bertindak keluarkan 13 saman,” katanya.

Fatimah berkata, pihaknya mengenalpasti sepuluh sikap pemandu “loklaq” yang menjadi punca kemalangan jalan raya.

Beliau berkata, bagi kategori kenderaan berat seperti lori dan bas didapati memandu di lorong kanan secara berterusan, terlalu rapat dengan kenderaan di hadapan dan laju secara melulu.

“Bagi kategori kenderaan persendirian (kereta) pula membuat pusingan U secara semborono, gagal berhenti di persimpangan/keluar melulu, tidak berada di lorong yang betul di persimpangan, langgar berhenti di persimpangan lampu isyarat merah dan laju secara melulu di kawasan sekolah,” katanya.

Tambahnya lagi, bagi kategori motosikal pula tidak berhenti di persimpangan jalan/lampu isyarat, laju melulu/cilok dan merempit. – SM

(Visited 112 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button