NasionalNegeri

Lapan anggota TLDM anak Perlis bertuah mengadap Raja Muda Perlis

LAPAN anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) berasal dari Perlis yang bertugas di FOB Tun Azizan di Sandakan, Sabah bertuah apabila berpeluang mengadap dan beramah mesra dengan Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Ini berikutan, Raja Muda telah berkenan hadir pada majlis berbuka puasa yang diadakan di atas kapal auksilari berkenaan baru-baru.

Raja Muda yang mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Perlis ke Eks PerBah 2023 juga sukacita kerana Baginda bekesempatan bertanya khabar dengan anak-anak jati Perlis ini.

Tambah istimewa sempena lawatan ke Sabah pada kali ini juga Baginda diiringi oleh Panglima 5 Divisyen Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab, yang membesar dan bersekolah di Perlis dan juga Pengarah Hospital Duchess of Kent Sandakan, Dr. Mohd Fahmie Datuk Dr Othman yang juga berasal dari Kangar, Perlis.

Related Articles

Dalam titah ucapan, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah mengingatkan semua pihak sentiasa peka bahawa pengawalan perairan dan juga sempadan negara masih perlu diperkasakan malah diperketatkan lagi bagi mengelakkan sebarang bentuk pencerobohan, penyeludupan dan memastikan kedaulatan serta keselamatan negara sentiasa terjamin.

Tambah Raja Muda, semua anggota TLDM, pasukan keselamatan dan agensi-agensi berwajib di sempadan negara yang lain juga dimohon supaya terus mempertingkatkan lagi kawalan dengan penuh berdisplin, cekal dan berintegriti.

“Pada masa yang sama marilah kita semua mendoakan keselamatan, dan menghargai jasa mereka yang terus kekal menjadi ‘barisan hadapan’ negara pada setiap masa,” titah Baginda dalam kenyataan media oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Sempena kunjungan tersebut juga, Tuanku Syed Faizuddin Putra bagi pihak MAIPs juga berkenan menyerahkan sumbangan RM2,000 kepada pengurusan kapal itu yang diterima oleh peneraju serta pemimpinnya, Komander Abdul Manan Mazlan TLDM untuk aktiviti dakwah. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button