3000 kakitangan, mahasiswa imarah Ramadan UPSI sempena program Rabu untuk Qalbu
SERAMAI lebih 3000 warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menghadiri program Imarah Ramadan dan Nuzul Al-Quran sempena Perhimpunan Bulanan April di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah hari ini.
Majlis yang dirasmikan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff itu dikendalikan oleh Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) serta Pusat Islam UPSI sebagai satu pengisian slot Rabu untuk Qalbu.
Md Amin berkata program itu adalah antara pendekatan bagi mengeratkan silaturrahim seluruh warga kampus baik kakitangan akademik, mahasiswa dan kakitangan pentadbiran untuk menghayati pendekatan 5K iaitu Kekeluargaan, Kasih Sayang, Keseronokan, Kreativiti dan Kesegeraan.
“Menerusi pendekatan sama, pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi menghubung ikatan yang lebih baik dalam organisasi sejak dua tahun lepas telah menjadikan UPSI melakar kejayaan di peringkat negara dan antarabangsa,” jelasnya.
“UPSI baru-baru ini menyaksikan tiga mahasiswa UPSI mengungguli tiga buah Anugerah Tokoh Siswa daripada 20 buah kategori anugerah yang diberi pengiktirafan,”katanya.
Kemenangan mahasiswa UPSI ini, katanya, adalah hasil inisiatif “project by design” untuk melahirkan mahasiswa yang mampu bersaing dengan ribuan mahsiswa seluruh tanahair.
Menurut Md Amin, sebagai universiti peneraju kebitaraan pendidikan, UPSI juga bakal memulakan operasi pusat pembelajaran di Emiriah Arab Bersatu selepas kejayaan di negara Uzbekistan dan China dan sebagainya.
“UPSI menerusi Pusat Kajian Pendidikan (CPRI) juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Institut Pendidikan Guru bagi membangunkan penyelidikan berkenaan pendidikan pedagogi, serta kerjasama dengan Universiti Cambridge United Kingdom dan Universiti Kebangsaan Singapura dalam bidang teknologi nano,” jelasnya lanjut.
Selain itu menurut Md Amin lagi UPSI turut merancang menjalankan program melibatkan warga UPSI seperti majlis iftar perdana dan hari raya yang turut mengundang Tuanku Canselor, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
“UPSI tak mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan universiti lain jika warganya tidak ada rasa sayang pada ibu kandung suluh budiman (kampus),” ujarnya.
Sempena program diadakan ceramah keagamaan bertajuk ‘Ramadan Bulan Umat Berintegriti’ yang disampaikan penceramah tersohor tanahair, Ustaz Haslin Bahrim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Haslin Bollywood itu antara lain membicarakan kemuliaan Al-Quran sebagai petunjuk kehidupan manusia, mukjizat yang diturunkan pada bulan Ramadhan serta pembentukan nilai sahsiah umat yang berintegriti bermula pada bulan mulia ini.
Katanya, Al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadan menjadi petunjuk kepada seluruh umat manusia untuk memilih antara yang benar dan yang salah semasa hidup. -SM