Doktrin wahabi berjaya disebarkan secara halus menerusi media sosial
Wahabi adalah satu fahaman yang difatwakan menyeleweng dari sudut akidah, feaqah dan tasawwuf dan perkara ini jelas diputuskan dalam beberapa siri Muzakarah Fatwa Kebangsaan.
Realiti di Malaysia pula, disebabkan asal nampak Melayu, terus label Islam, asal nampak Arab, terus anggap Muslim, asal keluaran Universiri Al-Azhar, Mesir terus dicop hebat ilmu agama.
Perkara ini terjadi kerana semasa di sekolah, umat Islam di Malaysia cuma belajar subjek Pendidikan Agama Islam untuk lulus peperiksaan sahaja, bukan sebagai amalan sepanjang hayat.
Mereka yang bersekolah di pondok-pondok pula, yang belajar ilmu agama untuk sepanjang hayat ini, sering di pandang rendah oleh mereka yang bersekolah dalam sistem pendidikan nasional.
Kesannya, orang-orang akademik, yang hebat menggenggam ijazah, mampu menghafal ribuan perkataan atau rumusan, tidak mengenali musuh atau ancaman ke atas agama sendiri.
Jika ditanya soal rukun agama misalnya, majoriti boleh menghuraikan cara untuk menjalani rukun iman dan rukun Islam tetapi soal rukun ehsan, hanya bunyi cengkerik kedengaran.
Tahu-tahu selepas tamat zaman persekolahan, terus sibuk habiskan usia belia di universiti, bukan semua ambil subjek pengajian agama Islam ke peringkat yang lebih mendalam.
Tahu-tahu selepas tamat zaman pengajian IPT, terus sibuk dengan kerjaya serta keluarga dan kalau ditanya sempat ikuti mana-mana kelas agama, jawapannya pasti tidak sempat.
Bagi mereka yang berkelapangan dalam kesibukan, untuk hadiri kelas fizikal ibarat lutut bertemu lutut dengan guru, pastinya sukar berlaku kecuali bagi segelintir individu.
Jadi jalan penyelesaian yang diambil adalah dengan menonton ceramah agama dalam media sosial, baik Facebook, YouTube, TikTok dan sebagainya.
Apabila umat Islam buat ‘remeh’ untuk belajar agama hanya menerusi media sosial semata-mata, kelompongan inilah yang menjadi kekuatan bagi kumpulan wahabi.
Dari sudut imej atau pun amalan ibadat khusus, memang tidak ada beza dari sudut zahir, sama seperti umat Islam yang lain dalam mazhab as-Syafie.
Namun apabila seseorang umat Islam itu mengenali ciri-ciri wahabi, seseorang yang tidak mudah terpesona dengan luaran InsyaAllah akan mengenal musuh di hadapan matanya.
Antara ciri-ciri wahabi adalah seperti ketika berceramah, dia akan memburuk-burukkan pengajar agama yang lain dan ketika berdebat, yang paling lantang itulah dianggap sebagai wira.
Mereka juga mudah mengkafirkan umat Islam lain yang tidak sependapat dengan mereka, gemar melafazkan ibadat bukan khusus sebagai bidaah dan bagi perkara baik namun tiada dalil, ia bukan ibadah.
Sedangkan jika difahami penciptaan manusia ini, tujuannya hanya satu iaitu beribadah kepada Allah SWT dan mencintai Rasulullah SAW bermula dari celik mata sehingga terpejam untuk tidur,.
Apa-apa pun, kewujudan wahabi dalam pemikiran umat Islam di Malaysia sama ada secara sedar atau tidak sedar jelas menyebabkan banyak perpecahan sehingga hari ini.
Bagi umat Islam, belajar kenal ciri-ciri wahabi kerana peperangan antara Jabatan Agama Islam negeri dengan ustaz-ustaz semakin berleluasa selain kerana ‘hanya yang hak, akan mengenal yang batil!’