RAMAI yang bising apabila ketua menteri Melaka beralih tangan daripada Datuk Seri Sulaiman Md. Ali kepada Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Sebenarnya apa yang berlaku di Melaka adalah memperbetulkan yang selama ini tidak betul.
Rauf telah lama memegang jawatan sebagai Ketua UMNO Penerangan Negeri Melaka, seorang yang paling berpengaruh di negeri berkenaan.
Selepas pilihan raya negeri yang lalu Rauf yang mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) sepatutnya mengangkat sumpah kemenangan dicapai.
Bagaimanapun ia tidak berlaku apabila Sulaiman secara mengejut mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada pukul 1 pagi.
Tindakan Sulaiman itu tidak melanggar apa-apa peraturan, apatah lagi penyandang jawatan berkenaan juga merupakan individu yang dijadikan wajah poster sepanjang kempen dan disebut bakal mengekalkan jawatan ketua menteri.
Bagaimanapun ia bukan menunjukkan perbuatan yang bermoral serta tata kelola yang baik serta harus dijadikan contoh.
Sepanjang pilihan raya negeri, majoriti pemimpin BN termasuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri hadir di rumah Rauf dan ini menunjukkan kuatnya pengaruh bekas setiausaha kerja UMNO itu.
Rauf telah membuktikan ketika menjadi setiausaha kerja sebagai seorang yang mempunyai visi dan proaktif.
Melaka memang memerlukan seorang ketua menteri yang proaktif kerana negeri berkenaan tidak mempunyai sumber galian atau balak sebagai pendapatan, tetapi bergantung hampir sepenuhnya kepada sektor pelancongan.
Sebagai negeri pelancongan Melaka tidak boleh hanya duduk bersandar dengan aktiviti lama pelancongan yang semakin sendu dan semakin ketinggalan berbanding negeri lain.
Lama kelamaan Melaka akan terpadam dari peta pelancongan dan itu akan menjadi satu bencana besar.
Sampai bila Melaka hanya bergantung kepada pelancongan ikan bakar, asam pedas dan tapak sejarah?
Pelaburan baharu dalam sektor pelancongan tidak berlaku dan ini akan melesukan sumber pendapatan utama Melaka.
Inilah cabaran utama yang bakal dipikul dipundak Rauf sebaik mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.
Mengenali Rauf beliau bukan seorang takut akan cabaran dan pasti beliau mampu memikul tanggungjawab itu dan atas sebab itu jugalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memilih Rauf.