AgamaNasionalNegeri

Raja Muda Perlis berkenan rasmi Bulan Kesedaran Berwakaf

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan Bulan Kesedaran Berwakaf Peringkat Negeri Perlis 2023 anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Pelancaran tersebut disempurnakan baginda bersempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Terpilih (APT) Dan Anugerah Keterampilan Agensi Bersama MAIPs Bagi Tahun 2022 di Bukit Chabang Mari, Padang Besar, pagi tadi.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Besar Mohd Shukri Ramli; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Muhammad Azmir Azizan; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Pelancaran tersebut diadakan sempena Ramadan Al Mubarak 1444H yang bakal menjelang tiba yang mana MAIPs mengambil peluang dan inisiatif untuk melancarkan kempen tersebut bertujuan menyemarakkan budaya berwakaf dikalangan seluruh masyarakat khususnya di Negeri Perlis.

Bulan kesedaran yang bakal di sambut pada 1 Ramadan 1444 Hijrah itu adalah seiring Bulan Wakaf Peringkat Kebangsaaan 2023 anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) yang turut disambut pada setiap 1 Ramadan.

MAIPs ketika ini sedang giat mempromosikan Kutipan Dana Wakaf Tunai Am dan Khas untuk pelaksanaan pelbagai projek meliputi segmen keagamaan, sosial, pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

Ia melibatkan Wakaf Tunai Penyelenggaraan dan pembinaan masjid, surau dan tanah perkuburan Islam; Wakaf Tunai Pusat Rawatan Katarak MAIPs – HTF; Wakaf Pusat Autisme MAIPs-YTSP-KPM; Wakaf Pendidikan Tinggi MAIPs-UniMAP-UiTM dan KUIPs; Wakaf Khadamat (Wakaf Perkhidmatan); Wakaf Ma’ As Sabil dan pelbagai lagi.

Bersama-samalah semua berusaha menggandakan amalan kebajikan di bulan Ramadan Mubarak yang penuh barakah yang sudah pasti setiap sumbangan wakaf beroleh ganjaran pahala yang berlipat kali ganda di sisi Allah SWT.

BACA Martabatkan pendidikan al-Quran – Raja Muda Perlis

Salurkan sumbangan anda terus kepada MAIPs. Layari www.maips.gov.my. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button