Nasional

Program IPR: RM750 juta cukup untuk bantu 130,000 rakyat termiskin

PERUNTUKAN kerajaan berjumlah  RM750 juta disediakan kepada Kementerian Ekonomi tahun ini untuk program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi membantu 130,000 rakyat golongan termiskin adalah mencukupi.

Menterinya, Mohd Rafizi Ramli, berkata ia kerana kerajaan mengambil pendekatan yang berbeza bagi menguruskan peruntukan itu dengan pemberian bantuan dan kemudahan kepada peserta tidak secara sekali gus tetapi secara bulanan.

“… jadi pendekatan kita ialah, daripada kita ambil 100,000 (peserta) dan bagi terus (bantuan) RM20,000 ke RM30,000 sekali gus… lebih baik bayar (beri bantuan) kepada mereka setiap bulan. Jadi mereka perlu berada dalam acuan itu dalam tempoh 24 bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Naratif Khas dengan topik Inisiatif Pendapatan Rakyat yang disiarkan di RTM.

Pada 24 Feb lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar, Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023, berkata kerajaan akan melaksanakan IPR dengan peruntukan sejumlah RM750 juta kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan bantuan berkenaan.

Program tersebut menyasarkan peserta meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan dalam tempoh pemantauan 24 bulan dan selepas itu dapat menjana pendapatan sendiri melalui hasil yang diperolehi.

Menerusi program itu, peserta boleh membuat permohonan IPR yang terdiri daripada kategori Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

Justeru, Rafizi berkata bantuan dan kemudahan daripada peruntukan itu akan diberikan kepada peserta bergantung kepada skim kategori pilihan mereka yang telah diluluskan.

“Kalau INSAN mereka akan diberikan mesin layan diri di tempat yang telah dipilih, maksudnya mereka menerima sewaan bulanan yang dibayar terus kepada penyedia mesin layan diri antara RM600 hingga RM800 bergantung kepada jenis mesin… dalam tempoh dua tahun.

“Bagi INTAN pula akan melibatkan kerajaan mengenal pasti tanah, kemudiannya kerajaan kena sediakan kemudahan bersih tanah… dan kemudahan fertigasi, baja secara cecair, serta segala kelengkapan yang ada.

“Kalau IKHSAN, kita bagi ‘top-up’ (pendapatan) kepada mereka. Contohnya individu yang menjaga tandas awam, kutipan hasil selama ini kadang-kadang hanya dapat RM1,000 atau RM800. Jadi kita akan tambah (pendapatan) setiap bulan itu kepada RM2,000 selama 24 bulan,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button