Yayasan VFive giat laksana misi kemanusiaan bantu mangsa banjir di Johor
ORGANISASI kebajikan di bawah naungan VFive Group, Yayasan VFive giat melaksanakan usaha-usaha murni bagi membantu mangsa-mangsa banjir di sekitar negeri Johor. Misi bantuan yang telah dijalankan sejak Jumaat lalu turut melibatkan kerjasama sukarelawan daripada Southern Volunteer bagi menghulurkan bantuan kepada kira-kira 1,000 mangsa yang terjejas.
Bantuan-bantuan tersebut telah disalurkan kepada tiga Pusat Penempatan Sementara (PPS) di daerah Batu Pahat, kawasan perumahan di Kg. Contoh Kahang, Jalan Mersing, serta mangsa- mangsa banjir di kawasan Simpang Renggam.
Mengulas mengenai misi bantuan yang dijalankan, Pengasas serta Pengerusi Yayasan VFive, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata Yayasan VFive sememangnya prihatin dengan nasib mangsa yang ditimpa musibah dan sentiasa bersiap siaga untuk turun padang bagi meringankan beban mereka-mereka yang memerlukan.
“Walaupun berdepan pelbagai limitasi dari segi masa dan pergerakan, namun kami di Yayasan VFive tetap komited untuk menghulurkan bantuan yang terdaya. Alhamdulillah, segala usaha kami dipermudahkan dengan kerjasama yang erat dari pelbagai pihak”, katanya.
“Antara bantuan yang kita berikan adalah berbentuk set bakul makanan dan juga kit penjagaan diri yang merupakan keperluan utama mangsa-mangsa banjir. Dengan bantuan ini, kita harapkan dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka untuk menempuhi fasa yang mencabar ini. ujarnya lagi.
Selain menghulurkan bantuan kepada mangsa di Pusat Penempatan Sementara, Yayasan VFive turut melawat ke 5 buah rumah yang hampir ditenggelami air banjir di Jalan Mersing yang mengakibatkan banyak kerosakan dan kehilangan harta benda.
“Rata-rata penerima sangat mengalu-alukan bantuan yang disalurkan dan mengucapkan rasa syukur di atas sikap prihatin yang ditunjukkan”, katanya.
“Diharapkan agar lebih ramai organisasi di luar sana dapat sama-sama memberikan bantuan agar segala keperluan mangsa-mangsa banjir ini dapat dipenuhi. Marilah sama-sama kita doakan agar musibah ini dapat segera surut dan semua mangsa dapat kembali menjalani hidup seperti sedia kala”, tambahnya lagi.
Artikel berkaitan > VFive Group perkasakan inisiatif kebajikan, sasar sumbangan RM25 juta tahun ini