IPT perlu hantar siswa praktikal pada semester akhir
DILEMA 40,000 mahasiswa institusi pengajian tinggi yang dikatakan sukar mendapat tempat untuk menjalani praktikal boleh ditangani jika mereka memahami situasi sebenar dengan tuntutan majikan.
Pemilik Gading Kencana Sdn Bhd,Datuk (Dr) Ir Guntor Tobeng yang juga Prof Adjung Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan bergiat aktif dalam bidang solar berkata sebagai majikan sebolehnya ingin mengambil mahasiswa khususnya bidang teknikal dan vokasional yang memperlihatkan penampilan semasa praktikal untuk bekerja dengan syarikatnya.
Beliau berkata patut mengkaji semula silibus pengajian, seperti praktikal dibuat pada semester akhir pengajian.
Menurut beliau kalau mereka didapati sesuai, majikan boleh menyerap terus ke dalam perkhidmatan semasa praktikal kerana sudah boleh dikira sebagai berada dalam “probation period”.
Namun, katanya, mahasiswa perlu menjalani praktikal pada semester lapan supaya mereka dapat diserap terus bekerja .
Justeru, katanya, pihak universiti perlu menghantar mahasiswa pada semester lapan, bukan semester enam seperti amalan sekarang kerana mereka perlu pulang ke kampus menyambung pengajian.
“jika semester enam berpraktikal, ia tidak efektif untuk pihak swasta membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan malah membantu mereka memiliki pekerjaan sejurus tamat pengajian sekali gus membantu keluarga terutamanya dari kalangan B40 atau asnaf,” katanya.
Beliau berkata jangka masa praktikal terlalu pendek sekitar lapan hingga 12 minggu minggu ternyata tidak mencukupi untuk mahasiswa mendapat ilmu ketika menjalani praktikal, malah majikan akan kerugian mengajar ilmu yang tidak sempat dimanfaatkan dalam industri.
Oleh itu, katanya, semasa praktikal, berbaloi sekiranya mahasiswa diberi gaji minima kerana sudah boleh dikira sebagai “probation period”, malah selepas mendapat keputusan pentaksiran latihan industri, mereka boleh diserap terus ke dalam skim gaji swasta.
Katanya, tidak timbul isu mahasiswa atau dorongan ibu bapa yang meminta majikan menawarkan elaun yang lebih tinggi malah ada yang membandingkan kadar elaun antara majikan .
Semasa menjalani Latihan Industri, katanya, insentif elaun yang diberikan adalah ihsan pihak majikan semata-mata untuk kebajikan mahasiswa yang sedikit-sebanyak membantu kerja-kerja industri dalam proses pemindahan ilmu untuk mahasiswa.
“Sebagai majikan sebolehnya kami inginkan mahasiswa yang berkarisma untuk terus bekerja dengan syarikat dalam membantu mereka memperolehi pekerjaan tetap membina pengalaman asas dalam memulakan kerjaya,” katanya. -SM