Sistem pendidikan negara memerlukan pembaharuan daripada berteraskan 70 peratus bidang akademik dan memasukkan elemen Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) dan keusahawanan.
Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik berkata, sistem pendidikan negara yang diamalkan sejak sekian lama masih disifatkan lemah hingga menyebabkan kadar pengangguran belia terus meningkat.
Menurutnya, pembaharuan tersebut perlu dilaksanakan segera kerana dua elemen tersebut dilihat lebih menjamin masa depan pelajar agar lebih mudah mendapat pekerjaan selepas tamat persekolahan dan universiti.
“Satu langkah pelaksanaan TVET dan keusahawanan dalam sistem pendidikan negara perlu dilakukan secara bersepadu demi menyelamatkan masa depan belia sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga asing.
“Saya lihat sistem pendidikan negara yang 70 peratus berorientasikan bidang akademik semata-mata menyebabkan ramai pelajar yang keluar dari universiti sukar untuk mendapat pekerjaan tetap dan ini menyebabkan ramai menjadi mat rempit.
“Sebab itu, kerajaan kena ada polisi untuk tukar bidang akademik ini kepada 70 peratus TVET dan keusahawanan jadi bila keluar belia boleh berdikari kerja baiki penyaman udara, kereta sikit-sikit tak perlu sangat bergantung pada peluang kerja kerajaan,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Abdul Rahim berkata, pada masa sekarang kadar pengangguran dalam kalangan belia sudah hampir mencecah satu juta orang memandangkan peluang kerja yang sesuai dengan kelayakan mereka ini masih tidak mampu mengisi kekosongan jawatan.
Menurutnya, meskipun pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan dalam membangunkan TVET, namun ia masih belum berkesan untuk membantu lepasan bidang itu menceburi bidang keusahawanan.
Jelasnya, ketika ini, tiada agensi yang bertanggungjawab untuk menjalankan kajian secara serius terhadap keperluan industri dengan sistem pendidikan di peringkat rendah dan tinggi.
Ekoran itu katanya, berlaku kesilapan memilih bidang atau kursus dalam kalangan pelajar yang menyebabkan mereka hilang hala tuju selepas tamat pengajian.
“Peranan ini perlu dilaksanakan oleh agensi terbabit agar menjalankan kajian pemadanan antara kursus yang ditawarkan di institusi kemahiran dengan keperluan industri,” ujarnya.
Ujarnya, cadangan penubuhan agensi itu akan dikemukakan kepada kerajaan sebagai sebahagian daripada usaha transformasi bidang pendidikan negara. -SM