Projek fasa dua pakej satu pengindahan dan pembersihan sungai Melaka dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun 2025 kata Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Menurutnya, projek berkenaan tertangguh untuk satu tempoh yang lama sejak mula dibina pada 1 Februari 2012 berpunca daripada dua kontraktor menarik diri daripada meneruskan kerja-kerja tersebut melibatkan peruntukan RM121.2 juta.
Beliau berkata, kontraktor ketiga yang dilantik untuk menyambung kerja-kerja yang ditinggalkan dua kontraktor terdahulu berbaki 20 peratus tidak dapat dilaksanakan berikutan perubahan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kontrak kontraktor ketiga terpaksa ditamatkan berikutan rundingan terus tidak lagi dibenarkan dan dibatalkan oleh kerajaan sekarang.
“Justeru, tender terbuka terpaksa dibuat bagi memilih kontraktor baharu Mac ini bagi menyiapkan keseluruhan baki kerja projek pengindahan dan pembersihan Sungai Melaka dengan kos sebanyak RM30
juta.
“Insyallah seluruh projek fasa dua pakej satu dijadualkan siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun 2025,” ujarnya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) di Taman Rempah di sini hari ini.
Kerja-kerja bagi menaik taraf sungai tersebut melibatkan pemanjangan dan pelebaran sungai itu sejauh 2.3 kilometer dengan pelbagai kemudahan infrastruktur telah dibina sepanjang sungai tersebut sehingga ke kawasan Melaka Sentral.
Mengulas lanjut Sulaiman berkata, setakat ini pakej dua dan tiga telah siap sepenuhnya serta telah diserahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.
Namun begitu beliau menambah kerja-kerja membaikpulih bagi pakej dua dan tiga terpaksa dilakukan berikutan berlaku beberapa kerosakan seperti pesiar jalan kaki, tanah mendap dan beberapa kerosakan di sepanjang 2.3 km sungai berkenaan.
“Satu tender terbuka juga akan dibuka untuk mencari kontraktor baharu bagi kerja-kerja membaikpulih kerosakan yang berlaku,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau berharap daripada 17 komponen yang keseluruhannya dijangka siap pertengahan 2025 dan sekurang-kurangya dua atau tiga komponen dapat disiapkan awal daripada tarikh yang disasarkan.
Katanya, beliau meminta kerajaan untuk memberi keutamaan sama ada dua atau tiga komponen dapat disiapkan selaras dengan usaha kerajaan negeri memperkenalkan Tahun Melawat Melaka 2024. – SM