NasionalParlimen

Ahli Parlimen, Senator perlu ikuti latihan etika – Rais Yatim

AHLI Parlimen dan Senator perlu mengikuti latihan pemantapan etika sebagai pemimpin dipilih oleh rakyat.

Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berkata ,cadangan itu antara syor terkandung dalam pindaan Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen 1952 untuk memperkukuh kewibawaan Parlimen sebagai badan tertinggi negara.

“(Latihan) dalam aspek etika sebagai pemimpin yang dipilih rakyat, budaya anti rasuah, kelakuan dalam parlimen, hubungan dengan penjawat awam, dan lain-lain,” katanya kepada FMT.

Rais berpandangan semua wakil rakyat juga harus menerima layanan seperti penjawat awam lain, tanpa ‘memilih bulu’ selaras dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, semua Ahli Parlimen dan Senator mesti mempunyai perintah-perintah am seperti penjawat awam yang antaranya berkaitan prosedur selepas pendakwaan di mahkamah.

“Jika seseorang penjawat awam kena dakwa, dia digantung kerja sehingga kesnya selesai. Tetapi seseorang anggota Kabinet terus kerja walaupun sudah didakwa.

“Ini bertentangan Perkara 8 (Perlembagaan Persekutuan),” tegasnya sambil menambah setiap wakil rakyat perlu menunjukkan contoh baik dalam mengangkat kedaulatan undang-undang negara.

Menyentuh usaha mengurangkan kenyataan berbaur seksis dalam persidangan Dewan Rakyat dan Negara, Rais berkata Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 akan ditambah baik termasuk menaikkan denda maksimum RM10,000.

Menurutnya, kenyataan bersifat seksis boleh dianggap kelakuan tidak senonoh dan melanggar etika perbahasan di bawah Peraturan Mesyuarat 36(6) yang juga melarang ahli mengeluarkan sangkaan jahat iaitu kesalahan di bawah Peraturan Mesyuarat 36(10)(c).

“Ahli Parlimen sebagai pemimpin atasan harus lebih berwibawa semasa perbahasan dan berhujah pada persidangan,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button