Pemimpin antarabangsa perlu kecam kezaliman rejim Israel – Anwar Ibrahim
PEMIMPIN antarabangsa digesa untuk sama-sama mengecam kezaliman rejim Israel yang tidak pernah berhenti menindas warga Palestin yang ditahan sesuka hati.
Malaysia juga menyeru semua pemimpin dunia yang berfikiran lurus dan rakyat yang bebas untuk mengecam secara mutlak pembunuhan terang-terangan ke atas warga Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, masyarakat antarabangsa harus sama-sama menuntut rejim itu menghentikan serta-merta tindakan kejam serta biadab.
“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kempen penindasan tanpa henti dan ganas terhadap tahanan Palestin di beberapa penjara pendudukan Israel serta hukuman kolektif dan tindakan balas terutama terhadap tahanan dari Jenin di Tebing Barat.
“Malaysia merakamkan simpati, takziah dan doa kepada keluarga berpuluh-puluh rakyat Palestin yang terkorban dan cedera akibat pencerobohan yang tidak dapat dielakkan oleh tentera Israel semasa serbuan baru-baru ini di kem pelarian Jenin,” kata Anwar dalam satu kenyataan.
Ujar Anwar lagi, Malaysia juga akan terus berdiri dalam solidariti dengan rakyat Palestin dan mengesahkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin.
Hal ini selari dengan tujuan mereka untuk mencapai kebebasan daripada penjajahan haram Israel dan merealisasikan aspirasi mereka untuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai Ibu Kota mereka. – SM